Nik Aziz Jadi Inspirasi Parti Amanah – Raja Kamarul Bahrin

KUALA TERENGGANU – Pemimpin Amanah tetap menyanjung bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun mereka dianggap mengkhianati perjuangan Pas.

 

Tidak dinafikan, Nik Aziz merupakan pemimpin yang dijadikan sebagai ‘role model’ dalam perjuangan Amanah ketika ini walaupun mereka berpaling dari perjuangan Pas dan menubuhkan parti baharu.

 

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, Nik Aziz yang dipanggil Tok Guru dianggap sebagai contoh dan inspirasi dalam perjuangan Amanah dalam menegakkan Islam melalui konsep ‘rahmatan lil alamin’ atau rahmat untuk semua.

 

“Dalam saat negara menghadapi cabaran yang begitu hebat, sikap zuhud dan kesederhanaan Tok Guru dirindui bukan hanya oleh umat Islam tetapi juga oleh bukan Islam dan bukan Melayu.

 

“Tok Guru menjadi ikon tokoh agama serta pemimpin masyarakat yang mempamerkan keadilan, kesederhanaan dan sikap inklusif untuk semua. Kami merindui Tok Guru yang sudah tiada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

 

Raja Bahrin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian sebagai mengingati pemergian Nik Aziz yang genap setahun pada Jumaat lepas.

 

Beliau berkata, pihaknya juga merindui sentuhan kebijaksanaan Tok Guru apatah lagi berlaku perubahan besar di pihak pembangkang dan kerajaan selepas setahun pemergian bekas Menteri Besar Kelantan itu.

 

Jelasnya, Nik Aziz merupakan seorang tokoh agama yang sukar ditandingi dan sukar diganti serta inklusif kerana mampu mendekati semua pihak tanpa mengira pelbagai latar belakang.

 

“Selama lebih 20 tahun, di dalam keadaan segala kekurangan dan segala tekanan yang hebat dari kerajaan Pusat, alhamdulillah Tok Guru berjaya mempertahankan Kelantan dengan cara segala kesederhanaannya.

 

“Walaupun berketurunan Raja Jembal, Tok Guru tidak pernah menunjuk sikap meninggikan diri tetapi sentiasa sederhana dan zuhud. Inilah seorang pemimpin yang bukan hanya mengajar tetapi menghayati dan menjadi contoh hidup dengan menzahirkan segala ajaran yang disampaikan seperti terkandung dalam al-Quran,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.