Lelaki Bakar Teman Wanita

JOHOR BAHRU – Seorang pengganggur lelaki berusia 31 tahun ditahan polis di sini semalam selepas dipercayai membakar teman wanitanya, Khamis lepas.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, ditahan di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya, kira-kira jam 5 petang.

 

“Kami dapati ada kesan terbakar di tangan dan kakinya dipercayai akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Khamis lalu, teman wanita suspek melecur 40 peratus di badan selepas dipercayai dibakar lelaki itu menggunakan minyak tanah di sebuah premis berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Seri Alam, di sini kira-kira 11.30 pagi, Khamis.

 

“Suspek dikatakan bertindak demikian kerana cemburu dan wanita itu kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail,” katanya sambil menambah suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Februari. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.