Ahli Perniagaan Sekeluarga Diikat, Dirompak

KUCHING – Seorang ahli perniagaan bersama isteri dan tiga anaknya melalui detik cemas berdepan sekumpulan perompak bersenjata dipercayai warga Indonesia yang memasuki banglo mereka di Jalan Pustaka di sini, awal pagi tadi.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Ernest John berkata, dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, ahli perniagaan berusia 57 tahun bersama isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya dikumpulkan dalam bilik utama dan diikat sebelum rumah berkenaan digeledah.

 

Terdahulu katanya, ahli perniagaan yang sedang tidur itu dikejutkan setelah pintu bilik tidurnya dibuka secara paksa dan diserbu empat lelaki bertopeng dan bersarung tangan.

 

Katanya, suspek yang bersenjatakan pisau dan alat pemotong kemudian mengarahkan semua penghuni rumah itu berkumpul dalam bilik utama dan diikat.

 

“Bagaimanapun, anak perempuan ahli perniagaan itu yang berusia 28 tahun tidak diikat,” katanya.

 

Menurut Ernest, ahli perniagaan itu kerugian kira-kira RM60,000 selepas perompak berkenaan berjaya melarikan 25 utas jam tangan pelbagai jenama yang dianggar bernilai RM10,000, telefon bimbit, dua tablet komputer, mata wang asing pelbagai negara berjumlah RM12,000, RM50 dan barang kemas bernilai RM12,000.

 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati empat perompak itu dipercayai warga Indonesia, dan mereka memasuki rumah berkenaan dengan mengumpil tingkap bilik bacaan di tingkat bawah rumah berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.