Tiada Kemudahan Internet Untuk Anwar

SHAH ALAM – Jabatan Penjara menjelaskan tiada kemudahan internet diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

 

“Sesiapa (sahaja) boleh (kendali akaun) Facebook/Twitter beliau (Anwar) dari luar,” menurut Jabatan Penjara melalui akaun Twitter rasminya, semalam.

 

Kenyataan itu dikeluarkan dipercayai selepas terdapat penulis blog yang mempersoal sama ada Anwar diberikan akses internet di penjara kerana Facebook rasmi ketua pembangkang itu dilihat masih aktif walaupun selepas beliau mula menjalani hukuman penjara pada 10 Februari lalu.

 

Antara status di Facebook Anwar selepas beliau ke penjara ialah: “Cuma minta sedikit ihsan untuk beri sedikit penghormatan tetapi apakan daya. Dari jauh doa dan sentiasa dalam kenangan.”

 

Status dimuat naik pada 13 Februari itu, dipercayai merujuk kegagalannya mendapatkan kebenaran Jabatan Penjara untuk menziarahi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia, Khamis lalu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.