The Cops Tidak Mahu Dabik Dada

Kuala Lumpur: Masih terlalu awal untuk membicarakan mengenai kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencabar kejuaraan Liga Super musim ini meskipun pasukan baru dinaik taraf itu mencipta kejutan terbesar setakat ini dengan menewaskan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 1-0 kelmarin.

 

Menurut jurulatih Azman Adnan, perjalanan anak buahnya masih panjang namun kemenangan di gelanggang sendiri itu membuktikan mereka tidak gentar berdepan pasukan mempunyai reputasi lebih hebat.

 

“Kemenangan ke atas Johor DT bukan mudah, mereka dibarisi ramai pemain bintang, memiliki kemudahan canggih jika dibandingkan PDRM, tapi apa yang membuatkan saya gembira apabila pemain menunjukkan semangat juang tinggi.

 

“Saya kagum dengan kesungguhan semua pemain terutama Muslim Ahmad yang saya anggap pemain pertahanan terbaik Liga Malaysia. Tapi saya mengingatkan semua pemain saingan baru bermula, menang kalah sebahagian daripada adat bola sepak,” katanya.

 

Kemenangan di Stadium Shah Alam hasil jaringan tunggal pemain import Mohammadou Sumareh pada minit ke-76 cukup bermakna buat skuad The Cops, juara Liga Perdana musim lalu yang mahu mencipta kebangkitan selepas langkah sumbang dicipta pada aksi pertama susulan tewas 3-5 kepada LionsXII di Stadium Jalan Besar.

 

Azman kini berharap pemainnya terus konsisten pada pertemuan dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV Sabtu ini.

 

Bagaimanapun Azman kini kehilangan pemain tengah, Lot Abu Hassan selepas mengalami kecederaan lutut serius dan mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh agak lama.

 

“Saya mungkin hilang khidmat Lot dan tempatnya bakal diisi Ahmad Ezrie (Shafizie Sazali).

 

“Saya harap pemain kini lebih yakin untuk melakukan kejutan kerana kami sudah membuktikannya,” kata Azman.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.