Tangkaplah Saya Kalau Boleh – Doris Jones

Kuala Lumpur – Aktivis kumpulan dalam Facebook yang dikenali dengan nama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), Doris Jones, mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menangkapnya.

 

Menurut status dalam laman Facebook miliknya, Doris Jones berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hishammuddin Hussein “ada duit untuk pergi ke mana-mana negara Eropah.”

 

“Apa alasan tidak dapat datang ke London untuk berdepan dengan saya jika saya ini adalah benar-benar melakukan jenayah yang boleh dikenakan di bawah Akta Hasutan?

 

“Buktikan di Mahkamah Antarabangsa. (Ini) cabaran saya kepada kerajaan Malaysia,” katanya seperti yang dipetik dalam laman tersebut.

 

Memetik laporanThe Star, Doris Jones berkata tidak tahu mengenai saman yang dikeluarkan bulan lepas bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan yang membawa kepada pengeluaran waran tangkap oleh pihak polis Malaysia pada Rabu.

 

Waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu menamakan Doris Yapp Kim Youn sebagai suspek, namun dia memperkenalkan dirinya sebagai “Doris Jones” apabila menghubungi akhbar itu.

 

“Saya Doris Jones,” katanya apabila ditanya jika dia ialah Doris Yapp Kim Youn dari Labuan, suspek yang dinamakan dalam waran tangkap itu.

 

Beliau juga memberitahu akhbar harian itu bahawa terpulang kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menggunakan saluran yang betul bagi mengekstradisinya, namun enggan mendedahkan lokasi di mana dia berada.

 

“Mereka boleh cuba untuk tangkap saya di United Kingdom, Kesatuan Eropah atau mungkin lebih Australia. Mereka boleh cuba.

 

“Saya tidak fikir Malaysia ada perjanjian ekstradisi dengan EU,” kata aktivis berusia 46 tahun itu.

 

doris jones

Dalam pada itu, kumpulan itu turut menyebarkan kenyataan rasminya terhadap tuduhan menghasut daripada Kerajaan Persekutuan Malaysia di Negeri Sabah.

 

Menurut kenyataan itu yang ditulis Jones, pihak SSKM menuduh kerajaan “Malaya” yang telah menyamar menjadi “Malaysia” kini, telah mengeluarkan ancaman berbentuk ugutan kepada Pejuang-Pejuang Bangsa Borneo daripada Sabah dan Sarawak.

 

Jones berkata, sebagai penduduk Sabah, dia terkilan namun tidak terkejut dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh sebuah parti yang mempunyai dominasi besar di Sabah, melalui sokongan pendatang tanpa izin (PATI) khususnya di pantai timur Sabah yang mana kekuatan UMNO-BN dilihat lebih kukuh.

 

Nama kumpulan SSKM digunakan bertujuan untuk melihat sejauh manakah rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai sentimen ini dan nampaknya majoriti rakyat di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo sememangnya mempunyai sentimen yang sama dengan kuat sekali.

 

“SSKM merupakan sebuah kumpulan yang terdiri daripada orang-orang Sabah dan Sarawak dan ditubuhkan untuk mendidik mengenai kebenaran yang disembunyikan selama ini tanpa pengetahuan mereka terutama sekali kepada golongan generasi muda,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

 

Jelasnya, perkongsian ilmu dan maklumat mengenai sejarah Sabah (dahulunya dikenali sebagai North Borneo) dan Sarawak sebelum perang dunia pertama dan kedua, kerajaan dijajah James Brooke sebelum pembentukan Malaysia serta selepas pembentukan Malaysia.

 

“Informasi sejarah berfakta dan dokumen yang direkodkan didedahkan kepada semua orang khususnya kepada ahli-ahli dalam kumpulan SSKM.

 

Kepincangan dan salah laku pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak khususnya Malaya didedahkan kepada generasi muda Borneo untuk melihat, memahami dan membuat renungan sama ada mahu mengulangi sejarah yang salah atau memperbetulkan keadaan lalu dengan membuat satu Kebangkitan Nasionalisme secara menyeluruh di kedua-dua negeri yang tidak bermotifkan politik.

 

“Dalam erti kata yang lain, ia adalah Kebangkitan Semangat untuk berjuang mengembalikan hak-hak mutlak yang selama ini telah dikhianati, dilanggari oleh pemimpin-pemimpin Malaya khususnya oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.

 

Akui Jones, dia terlalu naif dan tidak tahu agenda pihak tertentu belakang Jeffrey Kitingan kerana perkara itu juga dengan sangat jelas dapat dilihat melalui satu penemuan sebuah buku yang ditulis oleh seorang Professor British yang berjudul Malaysia.

 

Selain itu juga, SSKM mendakwa tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk menyertai perjuangan ini tetapi ia adalah atas kerelaan diri mereka sendiri setelah mengetahui kebenaran yang selama ini disembunyikan oleh pemimpin-pemimpin Malaya dengan memutarbelitkan sejarah Sabah dan Sarawak serta mencemarkan imej pejuang-pejuang Sabah dan Sarawak.

 

“Hakikatnya, seluruh kerajaan di dunia kini sedang memerhatikan kerajaan Malaysia tentang perkara ketidakadilan yang telah dilakukan terhadap kerajaan dan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.