Taktik Sorok Air Ketum Terbongkar

KOTA BHARU – Tindakan licik seorang lelaki menyorokkan bekalan air ketum dalam tong ais yang bergerak aktif menjualnya kepada pelanggannya sejak sebulan lalu, terbongkar.

 

Aktivitinya itu berjaya dikesan polis dalam serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Bukit China Ketereh, di sini, kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu.

 

Ketua Polis Daerah Kota  Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, pemuda berusia 27 tahun itu didapati bergerak aktif menjual bekalan air ketum kepada pelanggan tetapnya di luar beranda rumah dan menggunakan tong tersebut bagi mengisi bungkusan air ketum untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

 

Namun katanya, berdasarkan risikan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota  Bharu, kegiatan lelaki itu akhirnya terbongkar dan suspek berjaya ditahan bersama 32 bungkusan air ketum yang disimpan dalam tong ais tersebut.

 

“Suspek dipercayai mendapatkan bekalan air ketum yang siap diproses dari Terengganu.

 

“Berat semua air ketum tersebut dianggarkan 48 liter, dengan nilai RM600 kesemuanya. Ini adalah rampasan yang pertama,” katanya.

 

Rohaimi berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

“Dalam operasi bersepadu dijalankan sepanjang seminggu lalu, kita juga berjaya menyelesaikan empat kes termasuk kes ketum, selain kes melibatkan memiliki dan mengedar dadah.

 

“Kita berjaya memperoleh hasil rampasan bernilai lebih RM50,000 dan rampasan terbabit merupakan satu kejayaan terbesar pihak IPD Kota Bharu sepanjang tahun ini.

 

“Kita akan teruskan operasi ini yang dijalankan sejak 6  sehingga 21 Februari, bagi mengekang jenayah merangkumi pelbagai sudut melibatkan bahagian narkotik, jenayah dan trafik supaya dapat mencapai sasaran lima peratus pengurangan kadar jenayah di daerah Kota  Bharu,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.