Swissleaks Dedah Akaun, Kekayaan Rakyat Malaysia

Kuala Lumpur – Pendedahan berita tentang senarai nama penyimpan-penyimpan akaun ‘HSBC Swiss private banking’, turut mendedahkan beberapa nama rakyat Malaysia yang terlibat sama dalam skandal itu.

 

Menurut laporan berita kebocoran Swissleaks, Malaysia berada pada kedudukan ke-87 daripada 203 buah negara, dengan jumlah simpanan dalam akaun Swiss HSBC mencapai AS $ 173.400.000 ( RM621.6 juta ).

 

Portal dalam talian tempatan, Malay Mail Online yang memetik laporan International Consortium of Investigative Journalism (ICIJ) menyatakan, dalam tempoh 24 tahun, iaitu sejak 1982 hingga 2006, seramai 77 pelanggan Malaysia dikaitkan dengan 201 akaun bank.

 

Manakala daripada 93 pelanggan yang dikaitkan dengan nama Malaysia, 28 peratus daripada mereka memegang pasport atau kewarganegaraan Malaysia.

 

Portal tersebut turut menunjukkan pendedahan jumlah wang yang paling banyak disimpan oleh pelanggan Malaysia ialah sebanyak AS$ 67,700,000 (RM242.7 juta), sedangkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia, mengikut data terkini tahun 2013 adalah AS$10,500.

 

Bagaimanapun, kebanyakkan pelanggan Malaysia direkod menyimpan kurang daripada AS$2 juta dalam akaun mereka.

 

Swissleaks ialah skandal menyembunyikan beratus-ratus juta dolar daripada pihak berkuasa cukai apabiila mendedahkan HSBC yang dikatakan bersubahat dalam pengelakan cukai, menyenaraikan 77 akaun pelanggan yang dibuka oleh rakyat Malaysia antara 1982 dan 2006 dan dihubungkan dengan 201 akaun bank bernilai kira-kira AS$174 juta.

 

Sepuluh negara teratas (berdasarkan jumlah) adalah Switzerland (AS$31.2 bilion), United Kingdom (AS$21.7 bilion), Venezuela (AS$14.8 bilion), Amerika Syarikat (AS$13.4 bilion), Perancis (AS$12.5 billion), Israel (AS$10 bilion), Itali (AS$7.5 bilion), Bahamas (AS$7 bilion), Brazil (AS$7 bilion) dan Belgium (AS$6.3 bilion).

 

Pada minggu lepas, sepasukan 45 wartawan di seluruh dunia mendedahkan fail-fail yang bocor yang diperolehi melalui akhbar harian Perancis Le Monde secara serentak, melibatkan akaun bernilai lebih daripada US$100 bilion.

 

Data ini pada asalnya diseludup keluar oleh seorang bekas kakitangan HSBC, Hervé Falciani, yang kini menjadi penyumbang maklumat.

 

Data itu menunjukkan bank antarabangsa dan kedua terbesar di dunia, HSBC, membantu beribu-ribu penggunanya untuk menyembunyikan duit mereka dalam akaun rahsia di Switzerland.

 

Semua maklumat itu diserahkan kepada pihak berkuasa Perancis pada tahun 2008, sebelum akhbar harian Perancis, Le Monde memperolehinya daripada pihak penyiasatan berkuasa percukaian Perancis.

 

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), antara yang didedahkan menyimpan wang  di bank HSBC Switzerland termasuklah Sultanah Kalsom, permaisuri kepada sultan Pahang.

 

Namun fail-fail yang bocor itu tidak mendedahkan secara spesifik peranan Sultanah Kalsom dengan akaun itu atau jumlah wang dalamnya.

 

Selain itu laporan tersebut turut mendedahkan akaun milik kerabat diraja, usahawan, pelumba motorsikal antarabangsa, pereka fesyen, model, ahli perniagaan namun tidak didedahkan identitnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.