Queen Of The City: 3 Diva Kongsi Pentas

ZIANA ZAIN, Ning Baizura dan Noryn Aziz tiga nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah, tiga penyanyi yang layak digelar diva ini telah pun memiliki kelasnya yang tersendiri.

 

Di tambah pula dengan keupayaan vokal yang memukau, setiap persembahan mereka tidak pernah mengecewakan peminatnya. Siapa sangka, ketiga penyanyi hebat ini bakal digandingkan dalam sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang dianjurkan oleh Switch On Entertainment Sdn. Bhd.

 

Sesuai dengan tema Diva Malaysia Live, Queen Of The City, gandingan hebat trio pastinya bakal menjadi sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Berkongsi perasaan teruja, Ning menganggap tawaran tersebut sebagai satu penghargaan besar buatnya sepanjang bergelar penyanyi.

 

“Sebelum ini memang saya pernah terlibat dengan persembahan seperti ini tapi secara solo. Saya bersyukur kerana diberi peluang sebesar ini dan bangga digandingkan dengan dua penyanyi yang sangat hebat,” katanya.

 

Menjanjikan persembahan yang mantap, Ziana akui memilih seleksi lagu-lagu hit untuk menghiburkan peminat yang hadir.

 

“Terus terang saya agak sukar membuat pilihan lagu untuk di persembahkan kerana ramai yang membuat permintaan lagu untuk persembahan itu nanti.

 

“Memandangkan kami bertiga, jadi masa persembahan agak terhad dan saya akan cuba memilih lagu-lagu yang bersesuaian dan pada masa yang sama memenuhi cita rasa peminat yang hadir,” ujarnya.

 

Percaya pada kekuatan masing-masing, Noryn tidak mahu ketinggalan memberikan yang terbaik untuk peminatnya.

 

“Boleh dikatakan saya sudah biasa terlibat dengan persembahan Minggu Setiausaha tapi lebih teruja bila ditawarkan untuk digandingkan bersama Ning dan Ziana.

 

“Ini adalah saat-saat yang paling berharga buat saya untuk berkongsi pentas bersama mereka dan sudah pasti fokus utamanya adalah untuk menghiburkan mereka yang sanggup datang berhibur dengan persembahan kami nanti,” katanya.

 

Selain menampilkan tiga diva, persembahan tersebut turut dimeriahkan dengan celoteh tiga selebriti iaitu Ifa Raziah, Syarifah Shahira dan Roslan Shah.

 

Persembahan yang berjalan selama dua jam itu bakal berlangsung di dua lokasi iaitu di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur pada 9 April dan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 25 April. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.