Pusara Nik Aziz Terus Jadi Tumpuan Ramai

KOTA BHARU 15 Feb. – Jasad Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah selamat dikebumikan Jumaat lalu, namun pusara Mursyidul Am Pas itu masih tidak putus-putus diziarahi orang ramai dari segenap pelosok negara sepanjang masa.

 

Tinjauan Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini hari ini mendapati pusara tersebut masih dikawal rapi petugas Unit Amal Pas, manakala papan tanda dipasang supaya golongan wanita tidak masuk terlalu dekat dengan pusara bagi menjaga adab.

 

Salah seorang daripada petugas yang enggan dikenali berkata, mereka berkawal secara bergilir-gilir di sekitar pusara itu selama 24 jam sehari sejak semalam bagi mengelak perkara tidak diingini termasuk cubaan untuk membawa pulang tanah kubur.

 

“Kami tidak menghalang orang ramai yang ingin menziarahi kubur Tok Guru. Anda semua dialu-alukan datang.

 

“Kami cuma mahu memastikan kubur beliau tidak diganggu, selain menjaga kelancaran aliran trafik memandangkan ramai pengunjung hadir menaiki kereta. Malah, ada yang datang bersama-sama rombo­ngan dengan menaiki bas,” katanya.

 

Hari ini, akhbar melaporkan ada di antara individu cuba membawa pulang tanah kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz ko­nonnya untuk mendapat berkat menyebabkan pusara berkenaan dikawal rapi oleh Unit Amal Pas.

 

Perkara itu turut ditegur anak Allahyarham, Nik Mohamad Abduh yang meminta umat Islam terutama penyokong parti tidak terlalu taksub dan menghentikan sebarang kerja khurafat.

 

Sementara itu, seorang suri rumah, Fatimah Yusuf, 74, berkata, dia yang ditemani keluarga datang dari Kuala Lipis, Pahang semata-mata mahu menziarahi kubur Allahyarham.

 

“Di samping sedekahkan al-Fatihah, saya juga membaca surah Yasin dan mendoakan kesejahteraan Tok Guru. Walaupun kita semua mengasihi Tok Guru, saya harap janganlah ada yang terlalu taksub sehingga menjejaskan akidah,” katanya.

 

Seorang lagi pengunjung, Jaffidah Jaafar, 42, dari Jasin, Melaka berkata, sebagai orang Islam, dia menasihatkan para pengunjung menjaga adab apabila menziarahi mana-mana kubur.

 

“Saya sedih jika ada orang Islam percaya amalan khurafat sedangkan Allahyarham tidak pernah mengajar perkara-perkara seperti itu.

 

“Sebenarnya sukar untuk kita jaga kubur beliau sepanjang masa semata-mata mahu menghalang orang buat perkara tidak elok. Kita sebagai umat Islam sendiri yang perlu insaf dan ada kesedaran dalam diri masing-masing,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.