PM Singapura Jalani Pembedahan Kelenjar Prostat

SINGAPURA, 15 Feb. – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah didiagnosis menghidap kan­ser prostat dan akan menjalani pembedahan untuk membuang kelenjar prostat pada Isnin ini, menurut ke­nyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

 

Rawatan prostatektomi ‘keyhole’ yang dibantu oleh robot akan dijalankan oleh Prof. Christopher Cheng, pakar urologi di Hospital Besar Singapura (SGH), kata kenya­taan itu.

 

Bulan lepas, Lee telah menjalani rawatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) prostat yang menunjukkan luka-luka yang mencurigakan.

 

Ujian biopsi sete­rusnya yang dijalankan mendapati bahawa satu daripada 36 sampel mengandungi sel-sel kanser.

 

Lee mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan atas nasihat panel doktor yang diketuai oleh Prof Cheng, dan beliau dijangka pulih sepenuhnya selepas pembedahan.

 

Data daripada Pusat Kanser Memorial Sloan Kettering menunjukkan pesakit yang mempunyai profil perubatan dan rawatan yang serupa mempu­nyai kadar survival seba­nyak 99 peratus selama 15 tahun bagi penghidap kanser.

 

Lee akan mengambil cuti sakit selama satu minggu.

 

Dalam tempoh itu, Teo Chee Hean, Tim­balan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Menteri penyelaras bagi keselamatan Negara, akan bertindak sebagai Pemangku Perdana Menteri. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.