Petronas Tambah 20 Stesen Minyak Baharu

PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) merancang menambah 20 lagi stesen minyak di seluruh negara pada tahun ini.

 

Pengarah Urusannya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, setakat ini PDB memiliki 1,062 stesen minyak di seluruh negara.

 

“Selain itu, kita akan memastikan penambahan stesen ini dapat memberi pulangan baik,” katanya selepas melancarkan ‘Petronas Coffee Break’ bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di hentian Rehat dan Rawat Tapah (RnR) arah utara, Tapah baru-baru ini.

 

Mohd Ibrahimnuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PDB berkata, selain bekalan bahan api, semua stesen minyak kendalian Petronas turut dilengkapi kemudahan setempat bagi pelanggannya membeli barangan, melakukan transaksi seperti pembayaran bil serta menikmati hidangan makanan sambil bersantai bersama keluarga dan rakan.

 

“Kita akan terus beri layanan terbaik kepada pelanggan yang turut memberi pulangan terbaik kepada pemegang saham,” katanya.

 

Selain itu, katanya, Petronas turut membantu pengguna jalan raya berjimat menerusi penggunaan minyak berinspirasi teknologi Formula Satu atau F1, Petronas ‘Primax 95 with Advanced Energy Formula’ yang terbukti berkesan mempertingkatkan kecekapan perjalanan kenderaan.

 

Katanya, pada masa sama PDB mengukuhkan komitmennya terhadap aspek keselamatan jalan raya dan perkhidmatan bantuan kecemasan dengan menghulurkan sumbangan kepada St John Ambulans Malaysia sebanyak RM20,000.

 

“Ini bagi membolehkan ambulans mereka untuk rondaan di lebuh raya utama diisi minyak Petronas ‘Primax 95 with Advanced Energy Formula’ itu,” katanya.

 

Mohd Ibrahimnuddin berkata,  penganjuran program Petronas Coffee Break tahun ini adalah kali ke-16 diadakan.

 

Bagi fasa kedua, ia bermula 21 Februari depan hingga 22 Februari di 39 stesen terpilih di sepanjang lebuh raya dan jalan utama seluruh negara.

 

Katanya, Petronas Coffee Break adalah sebahagian komitmen Petronas untuk memastikan aspek keselamatan di jalan raya dengan menggalakkan pemandu untuk berehat seketika, menyegarkan diri dan memulihkan tenaga. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.