Pertempuran Etnik Myanmar Dan Tentera Kerajaan

YANGON – Berpuluh-puluh pemberontak etnik di negara ini terbunuh dalam pertempuran dengan askar Myanmar, manakala lapan lagi ditangkap selepas tercetus pertempuran baharu di utara ­Myanmar berhampiran sempadan China.

 

Media tempatan melaporkan sejak beberapa hari lalu, askar Myanmar telah melancarkan serangan udara dan darat ke atas kedudukan pemberontak etnik sebagai tin­dakan balas terhadap serangan pemberontak pada minggu lepas ke atas ibu pejabat utama tentera di wilayah Kokang.

 

Serangan ke atas bandar utama Laukkai itu menyebabkan berpuluh-puluh askar terbunuh dalam beberapa pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan pemberontak etnik.

 

Akhbar New Light of Myan­mar melaporkan, semalam tentera kerajaan bertempur dengan ‘kumpulan pemberontak’ di Kokang yang menyusup masuk ke Laukkai, lapor akhbar itu.

 

Selepas pertempuran itu berakhir, tentera bejaya merampas hampir 100 senjata kecil dan menemui 13 mayat anggota pemberontak, dan lapan pemberontak yang cedera parah turut ditahan.

 

Pihak berkuasa berkata, pertempuran di wilayah Kokang di negeri Shan pada 9 Februari lepas telah mengancam keamanan serta mengugat ha­rapan kerajaan untuk melaksanakan gencatan senjata di seluruh negara, sekali gus mencatat sejarah menamatkan konflik de­ngan kumpulan-kumpulan etnik di negara ini.

 

Jumlah mereka yang me­larikan diri dari wilayah Kokang tidak dapat dikenal pasti, de­ngan etnik Cina me­larikan diri ke sempadan China manakala yang lain menuju ke bandar Lashio, negeri Shan di utara.

 

“Kira-kira 300-400 pelarian Myanmar yang terlibat dalam pertempuran itu dijangka sampai di Lashio pada Ahad lepan untuk bersama-sama 500 lagi pelarian yang telah sampai pada Jumaat lalu,” kata Kementerian Informasi kepada agensi berita AFP.

 

Pemberontak Kokang diban­tu oleh Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan pasuken bersenjata daripada Tentera Pembebasan Kachin yang bekerjasama memerangi tentera kerajaan di kawasan-kawasan lain di negeri Shan dan negeri berdekatan Kachin.- Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.