Pemain Harimau Muda Perlu Dibenar Pilih Pasukan Sendiri

Kuala Lumpur – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membenarkan pemain skuad Harimau Muda untuk menyertai mana-mana pasukan yang mampu memberi pendedahan yang lebih baik daripada segi permainan.

 

Menurut Khairy, ada juga pihak yang berpandangan bahawa pemain Harimau Muda perlu kembali ke negeri asal kerana hanya negeri-negeri yang ‘glamour‘  akan mendapat pemain yang terbaik.

 

Beliau berkata, beliau cenderung kepada pandangan jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang mengatakan bahawa pemain tidak perlu disekat dan membiarkan mereka berhijrah ke pasukan yang terbaik.

 

“Bagi saya ia sepatutnya dibiarkan terbuka kepada mana-mana pasukan dan saya tak nak pertikai keputusan FAM tetapi biarlah  pemain-pemain ini pergi ke pasukan yang dapat pendedahan terbaik.

 

“Dalam perkara ini saya lebih cenderung kepada pandangan Kim Swee tapi itu keputusan FAM dan saya hanya diminta untuk diberi pandangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian mengulas status penempatan pemain skuad Harimau Muda selepas tamat perkhidmatan dengan FAM ditentukan mengikut tempat pendaftaran terakhir persekolahan masing-masing.

 

Sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata FAM membuat pendekatan meminda peraturan lama berhubung pemain bawah 23 tahun tersebut bagi mengelakkan timbul kekeliruan persatuan negeri berhubung status pemain selepas tamat kontrak bersama FAM.

 

Peraturan FAM sebelum ini menyatakan mana-mana pemain Harimau Muda yang telah tamat kontrak dengan FAM perlu kembali ke pasukan negeri asal masing-masing.

 

“Berikutan pindaan berkuat kuasa mulai tahun ini, mereka perlu kembali ke negeri yang ditetapkan sekurang-kurangnya setahun,” katanya.  Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.