Moto2: Zaqhwan Dan Bekas Mentor Kembali Berdamai

Kuala Lumpur – Tiada lagi sebarang rasa kurang senang di antara penunggang Moto2 negara, Mohd Zaqhwan Zaidi bersama bekas mentornya, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini sekalipun mengakui terdapat sedikit perselisihan faham, sebelum ini.

 

Selepas menggegar pentas Asia, tahun lalu, Zaqhwan memutuskan untuk beralih angin merasai cabaran lebih getir di Kejuaraan Dunia (MotoGP) di kelas Moto2 musim ini yang dilihat sedikit merencatkan hubungannya dengan bekas penunggang MotoGP negara itu.

 

“Pada mulanya keadaan agak tegang namun akhir-akhir ini, semuanya bertambah baik dan keadaan semakin tenang.

 

“Saya tidak pasti dia (Yuzy) ada rancangan lain untuk saya namun saya memang menghormatinya.

 

“Bagi saya, sudah tiba masanya untuk saya bergerak ke depan. Apa yang pasti, saya sudah berikan yang terbaik untuknya sebelum ini.

 

“Ia adalah gerak hati (memilih JPMoto). Tahun lalus, saya sudah juara. Mungkin sudah sepatutnya bergerak ke Moto2 dan JPM terlebih dulu buat tawaran kepada saya.

 

“Saya tidak nafikan masih ada banyak kekurangan namun ia boleh diperbaiki dari masa ke semasa,” kata Zaqhwan.

 

Sebelum menyertai JPMoto untuk beraksi di Kelas Moto2 di Kejuaraan Dunia, hubungan Zaqhwan dan Yuzy dikatakan semakin renggang terutama selepas anak didiknya itu menjuarai menjuarai kelas SuperSports 600cc perlumbaan Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) musim lalu.

 

Selain menguasai pentas Asia, Zaqhwan juga sudah mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuknya musim lalu dengan menjuarai kelas CP130 di Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

 

Mengulas penyertaan pertama di Moto2, Zaqhwan tidak meletakkan sasaran melangit bersama pasukan baharu, tahun ini yang dianggap proses penyesuaian.

 

“Pasukan tidak beri begitu banyak tekanan dan sekiranya kami boleh mencapai kelompok 15 terbaik, ia sudah baik. Ini adalah tahun pertama jadi banyak yang perlu saya belajar lagi.

 

“Jentera yang digunakan berbeza berbanding ARRC jadi saya berharap dapat sesuaikan diri dengan pantas.”

 

Zaqhwan menjuarai ARRC musim lalu dengan menafikan cabaran sengit penunggang handalan dari Jepun dan Asia lain.

 

Atas kapasiti pasukan baharu, Zaqhwan bersama pasukannya akan mengadakan ujian pra-musim berasingan daripada pasukan Moto2 lain yang kebanyakan mengadakan ujian di Sepanyol ketika ini.

 

Berbanding kebanyakan pelumba lain di kelas Moto2 yang menggunakan casis Kalex, Zaqhwan akan menggunakan casis Suter.

 

Selain Zaqhwan, negara turut memiliki dua lagi wakil dalam kelas Moto2 iaitu Hafizh Syahrin Abdullah yang menunggang bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia dan Azlan Shah Kamaruzaman (Idemitsu Honda Asia).

 

Ujian pra-musim JPMoto dijadualkan pada Rabu ini di Litar Antarabangsa Sepang. – Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.