Liga Super: Kelantan Benam LionsXII

KOTA BHARU: Kelantan mengutip tiga mata penuh apabila menumpaskan Lions XII 2-0 pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

 

Kelantan menunjukkan taring seawal minit keenam perlawanan apabila membuka jaringan menerusi tandukan pemain import dari Australia, Jonathan McKain, hasil sepakan sudut Mohd Fitri Omar.

 

Keadaan stadium yang hambar kembali bergemuruh dengan sorakan apabila skuad kendalian George Boateng menambah gol kedua pada minit ke-42 perlawanan hasil sepakan percuma kapten pasukan Mohd Badhri Radzi dari luar kotak penalti.

 

Tiga minit kemudian, pasukan pelawat cuba merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Zulfahmi Arifin, bagaimanpun sepakannya tersasar dan melepasi palang gol.

 

Bersambung di babak kedua perlawanan, tiada sebarang jaringan dihasilkan walaupun kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali arus ke kubu pertahanan lawan.

 

Kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang yang terhidang apabila beberapa percubaan yang dilakukan sering tersasar dan tidak membutirkan sebarang gol.

 

Terdahulu, kira-kira 20,000 penonton di stadium turut bertafakur selama seminit dan membacakan surah al-Fatihah sebelum sepak mula bagi menghormati pemergian Mursyidul Am PAS dan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pengulas sukan Datuk Hasbullah Awang, Khamis lalu.

 

Selain itu, sebanyak tujuh ‘wira banjir’ dari Manek Urai turut menerima hadiah berupa pas bola bermusim selama setahun, jersi dan mafla ‘The Red Warriors’ serta barangan elektrik daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sebagai penghargaan di atas tugas menyelamat mangsa banjir ketika bencana itu melanda negeri ini, Disimber lalu.

 

Kelantan akan melayan kunjungan pendatang baru Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sendiri pada 21 Feb ini. – Bernama/ HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.