Kritik Institusi Kehakiman, Ketua Hakim Beri Amaran Tindakan Tegas

Kuala Lumpur – Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini memberi amaran keras dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mereka yang cuba menjatuh dan mencemarkan imej badan kehakiman.

 

Arifin memberikan amaran berikutan kritikan hebat terhadap institusi kehakiman selepas Mahkamah Persekutuan minggu lalu mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan kesalahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

 

Arifin berkata, meskipun terbuka kepada kritikan tetapi tidak akan bertoleransi dengan dakwaan tidak berasas yang tersebar di laman sosial dan forum.

 

“Kita melihat perkara ini amat serius dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak,” katanya dalam ucapannya di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

 

Katanya, kritikan tidak berasas terhadap kehakiman hanya akan melemahkan pentadbiran keadilan dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi tersebut.

 

Ketua Pendakwa kes liwat Anwar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini mengesa agar Datuk S Ambiga didakwa kerana menghina mahkamah.

 

“Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan.

 

“Kalau perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya” katanya ketika ditemubual akhbar Mingguan Malaysia.

 

Ambiga ketika mengulas kenyataan Shafee itu berkata beliau langsung tidak gentar.

 

“Saya langsung tidak berasa gentar,” kata Ambiga, bekas pengerusi bersama BERSIH, dalam kenyataannya hari ini.

 

“Saya tiada apa-apa masalah untuk berdepan dengan dakwaan ini jika benar saya dituduh (di mahkamah). Biarkan kebenaran terbongkar” katanya pula.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.