Krisis MIC: Palanivel Tidak Hadir Pertemuan Dengan Najib

Putrajaya – Barisan Nasional (BN) mencadangkan satu sekretariat khas yang ditadbir urus oleh parti berkenaan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut dalaman MIC.

 

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan itu dicapai hasil pertemuannya bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Pejabat Perdana Menteri, pagi tadi.

 

Bagaimana pun, pada pertemuan itu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel tidak dapat menghadirkan diri atas alasan masalah kesihatan yang dihadapi isterinya dan menghantar wakil iaitu anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC Datuk S Sothinathan.

 

Tengku Adnan berkata, BN masih menunggu keputusan Palanivel mengenai cadangan penubuhan sekretariat itu memandangkan beliau tidak hadir pada pertemuan itu.

 

“Susulan pertemuan itu kita telah mencadangkan diwujudkan sebuah sekretariat yang dianggotai oleh parti komponen BN bagi menjalankan pentadbiran parti tersebut sehingga pemilihan semula diadakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

“Kita tidak mahu wakil, kita mahu Presiden MIC (Palanivel) sendiri yang menghadiri pertemuan itu, jadi kita masih tunggu keputusannya” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi Presiden MIC itu bagi menjelaskan perkara tersebut segera dan sekiranya beliau masih enggan berkompromi, kemelut tersebut terpaksa diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengendalikannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.