Hudud: Tetap Tunai Pesan Tok Guru Walau DAP Bantah

SHAH ALAM – Pendirian Pas dalam melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 atau hudud di Kelantan tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana pihak termasuk DAP, tegas Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din.

 

Katanya, Pas tidak akan tunduk dengan desakan mana-mana pihak untuk menangguhkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan sentiasa berikhtiar mencari “jalan terbaik” sepertimana yang diamanahkan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

“Tok Guru ada pesan, kita kena cari jalan terbaik untuk laksanakan hudud di Kelantan kerana itu amanah ALLAH. DAP dan sesiapa sahaja yang nak bangkang hudud semahu-mahunya, bangkanglah! Pas akan laksanakan hudud seboleh-bolehnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

 

Semalam, Sinar Harian melaporkan wasiat terakhir Allahyarham Nik Aziz yang mahu hudud tetap dilaksanakan di Kelantan walaupun beliau sudah tiada.

 

“Ayah nak walaupun dia tutup mata, hudud kena buat juga di Kelantan,” kata anaknya Nik Abduh kepada Sinar Harian.

 

Menurut Nik Abduh, Allahyarham kerap menyebut pelaksanaan hudud itu kerana ayahandanya adalah pencetus idea pelaksanaan hukum tersebut di Kelantan, walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri besar.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dipetik sebagai berkata, sidang Khas Dun Kelantan berhubung pelaksanaan hudud di negeri itu akan dilaksanakan selepas ‘trauma banjir’ di negeri itu pulih.

 

Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar pelaksanaan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hudud ditangguhkan sehingga tahun 2023 bagi menyelamatkan PR menjelang PRU14 akan datang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.