Haron Din Jalankan Tugas Mursyidul Am PAS

Kuala Lumpur – Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din akan menjalankan tugas sebagai Mursyidul Am sementara Majlis Syura Ulama PAS bermesyuarat membincangkan pengganti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali apabila ditanya tentang calon pengganti yang akan mengambil alih tugas sekiranya ada mesyuarat atau apa-apa perkara yang berbangkit nanti.

 

“Tiada mesyuarat yang dirancang dalam masa terdekat. Semetara itu, Haron Din akan menjalankan tugas,” katanya.

 

“Saya juga tidak menolak jika Majlis Syura bercadang membuat perlantikan dalam kalangan mereka tetapi saya tidak mendengar sebarang berita mengenainya,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

 

Mustafa juga mengingatkan, perlantikan Mursyidul Am ialah kuasa Majlis Syura Ulama PAS dan tidak melibatkan PAS Pusat.

 

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat pula berpendapat perlantikan Mursyidul Am PAS sewajarnya dibuat selepas muktamar parti itu.

 

Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka dan Mursyidul PAS meninggal dunia pada 12 Februari lepas di kediaman beliau di Pulau Melaka, pada pukul 9.40 malam akibat kanser prostat tahap empat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.