Felda Diperintah Kembalikan Tanah Orang Asal

Kota Kinabalu – Mahkamah Borneo mengisytiharkan pengasingan tanah seluas 650 ekar di Tanjung Labian yang terletak di Tungku, Lahad Datu kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah tidak mengikuti perlembagaan dan oleh itu, tidak sah.

 

Justeru, Pesuruhjaya Kehakiman, Douglas Primus mengarahkan Felda membayar pampasan kepada penduduk kampung yang merupakan pemohon yang berjaya bagi 650 ekar tanah itu.

 

Beliau memetik Artikel 8 dan 13 daripada Perlembagaan Persekutuan bahawa tindakan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur serta Kerajaan Sabah adalah bertentangan dengan perlembagaan.

 

“Tanah seluas 650 ekar itu telah diluluskan untuk penduduk pada 1972 dan Kerajaan Sabah telah melanggar tanggungjawab fidusiari mereka kerana gagal untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan penduduk kampung di tanah itu,” kata beliau semasa membacakan keputusan.

 

Beliau memutuskan, tuntutan pemohon tidak boleh dihalang di bawah Ordinan Had atau Ordinan Pengambilan Tanah dan ganti rugi hendaklah dinilai daripada tarikh penghakiman.

 

Felda merupakan plaintif yang memfailkan kes ini pada 2011 untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi mengusir penduduk kampung dari tanah yang diagihkan kepada mereka dengan mendakwa penduduk kampung telah menceroboh tanah tersebut.

 

Kes ini telah menjejaskan lebih 5,000 penduduk dari Tanjung Labian, Lok Buani, Tg Batu, Sungai Bilis, dan Tanagian.

 

Penduduk kampung pula dalam kenyataan mempertahankan kedudukan mereka, menafikan sebarang aktiviti pencerobohan dan menuntut hak anak negeri (NCR) ke atas tanah itu.

 

Difahamkan sebahagian daripada tanah itu telah diberikan oleh Jabatan Tanah dan Ukur kepada penduduk kampung selepas diluluskan oleh kerajaan Sabah pada 1972.

 

Penduduk kampung, sebagai defendan, juga membuat tuntutan pampasan, ganti rugi serta pengisytiharan terhadap Felda, Pendaftar Geran, Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Kerajaan Sabah.

 

Menurut fakta kes, Orang Asal yang diketuai oleh mendiang K.K Alian Bin Som, iaitu bapa kepada Asrafal Alin, yang merupakan salah satu daripada empat defendan dan wakil bagi penduduk kampung yang terjejas.

 

Mereka membuat permohonan untuk tiga bidang tanah pada tahun 1970an dan pada 1972, selepas kelulusan diberikan oleh kerajaan Sabah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur telah mengagihkan 650 ekar tanah kepada pemohon.

 

Walau bagaimanapun, Jabatan Tanah dan Ukur tidak memberikan geran tanah kepada pemohon.

 

Pada tahun 1978, Kerajaan Sabah telah bersetuju bahawa Felda boleh membangunkan lebih daripada 200,000 ekar termasuk tanah yang terletak di Tanjung Labian, Lahad Datu.

 

Sekitar tahun 1982/1983 Felda telah masuk ke kawasan tanah itu untuk membuat pembersihan tapak dan melakukan aktiviti penanaman kelapa sawit di tanah yang diberikan kepada penduduk kampung di kawasan yang kini dikenali sebagai Sahabat 22.

 

Felda sebagai plaintif diwakili oleh kaunsel Gani Zaleka dan defendan diwakili oleh Kong Hong Ming, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur dan kerajaan Sabah diwakili oleh kaunsel negeri Mohammad Abdul Sani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.