KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy boleh membuat tafsiran beliau sendiri terhadap keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 mengekalkan Presiden dan Timbalan Presiden bagaimanapun, Umno lebih mementingkan kesatuan dalam parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti akan hancur sekiranya fokus lebih terarah kepada pertandingan jawatan dalam Umno dan tidak menumpukan kepada PRN di enam negeri itu.
“Ramasamy itu bagi dia dalam politik ni pelbagai tafsiran boleh dibuat. Tafsiran dibuat dia melihat pespektif apa? Kita (Umno) lihat dari perspekstif parti dulu.
“Sekarang ini enam negeri akan bertanding dalam tempoh 5 atau 6 bulan lagi, bayangkan kalau kita fokus bertanding, orang bertanding sana-sini untuk PRU tapi kita kempen untuk diri sendiri untuk menang. Parti hancur tak apa bagi mereka asalkan mereka menang,” katanya Pengerusi Umno Terengganu ketika sidang media di Menara Datuk Onn pada Isnin.
Tegas Ahmad lagi, kesatuan parti adalah lebih penting bagi menghadapi pilihan raya.
“Parti lebih penting, kita tak mahu berpecah lagi, berkelahi lagi. Ini yang terbaik (tak tanding).
“Sama juga macam kita sertai Pakatan Harapan (PH) dalam Islam kita lihat mana mudarat lebih besar. Ikut hukum fiqah, kalau kira dua-dua tak boleh terima. Agong yang saran wujud Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Semalam, Ramasamy berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai ‘beban’ kepada Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan yang kini disertai parti tersebut bersama beberapa parti komponen lain.- Suara.TV