Ernie hibur peminat dalam sedih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sungguhpun perasaan sedih dan risau menguasai diri tatkala bapa mentua, Mohd Fodzly ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, penyanyi, Ernie Zakri tetap cuba memberikan persembahan terbaik menerusi This Is Ernie Zakri Showcase, baru-baru ini.

Isteri kepada penyanyi, Syamel itu enggan mengecewakan 200 peminat yang datang menyaksikan persembahannya, namun, hatinya tetap gundah gulana memikirkan bapa mentua yang menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.

“Setiap perkara berlaku di luar jangkaan, malah saya juga menerima berita kematian ahli keluarga ketika bercuti ke luar negara, baru-baru ini. Ia tentunya membuatkan saya sedih, lebih lagi, apabila bapa mentua berada dalam ICU.

“Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya apabila tampil dalam showcase ini. Saya rasa tidak adil pula mahu menunda persembahan ada peminat yang datang dari jauh untuk hadir malam ini.

“Hati amat risau, saya sering bertanya kepada suami perkembangan terkini bapa mentua. Alhamdulillah, Allah permudahkan dan showcase ini dapat diselesaikan,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Ernie bersyukur keadaan bapa mentuanya semakin stabil, cuma masih dalam jagaan rapi di ICU ketika ini.

Ditemui selesai showcase di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Rabu lalu, Ernie turut meluahkan perasaan terharu melihat suami tetap berusaha hadir memberikan sokongan, biarpun sibuk menjaga bapanya di hospital.

“Saya tidak sangka suami berkesempatan hadir. Saya tahu Syamel sibuk menjaga bapa di hospital.

“Suami bergelut sama ada mahu menjaga bapa dan memberi sokongan kepada isteri. Namun, suami tetap meluangkan masa hadir, itu sudah cukup memberi kekuatan,” katanya.

Selain ahli keluarga Ernie dan Syamel, rakan artis seperti Sissy Imann, Wany Hasrita, Amira Othman, Ara Johari, Nabila Razali, Amelia Henderson dan Sarah Suhairi turut memberikan sokongan hadir menyaksikan This Is Ernie Zakri Showcase.

 

Ernie enggan mengecewakan 200 peminat yang datang menyaksikan This Is Ernie Zakri Showcase walaupun hatinya tidak tenang memikirkan bapa mentua dalam ICU. - NSTP/Amiruddin Sahib
Ernie enggan mengecewakan 200 peminat yang datang menyaksikan This Is Ernie Zakri Showcase walaupun hatinya tidak tenang memikirkan bapa mentua dalam ICU. – NSTP/Amiruddin Sahib

 

Menyampaikan 10 lagu lama dan baharu, Ernie gembira hasratnya mengadakan showcase menceritakan perjalanannya sebagai penyanyi akhirnya menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, ini adalah persembahan bermakna walaupun berdurasi singkat. Mungkin ia juga persiapan ke arah konsert berskala besar, insya-Allah.

“Sebenarnya, persembahan solo ini sudah lama dirancang, tetapi baru dapat direalisasikan, tahun ini. Jadi, ia amat beza dengan Konsert Syamel dan Ernie Zakri: Aku Cinta.

“Showcase ini menceritakan perjalanan seni saya secara solo dan ia lebih bersifat peribadi,” katanya.

Selain menyampaikan lagu popular seperti Boneka, Gundah, Ku Bersuara, Hal Hebat, Rindu Bukan Teman, Ini Yang Ku Mahu, Misteri dan Jangan Marah, Ernie turut memperdengarkan single baharu, Astana di hadapan peminat.

Kata Ernie, single Astana masih kedengaran seperti lagu-lagu sebelum ini yang mengetengahkan kekuatan seorang wanita.

“Astana mengenai pemerkasaan wanita. Saya gembira single Astana mendapat sambutan pendengar.

“Jika ada rezeki saya mahu single Astana ke Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM). Doakan yang terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan untuk AJL37 yang bakal berlangsung 12 Februari ini, Ernie berkata, dia hanya dapat memulakan persediaan selepas merealisasikan This Is Ernie Zakri Showcase.

“Hanya berbaki sebulan dan saya baru nak memulakan persiapan. Sekarang saya boleh fokus 100 peratus untuk menyampaikan lagu Korban ciptaan Syamel di pentas AJL37.

“Jujurnya, saya tak sabar kerana mesej lagu Korban sangat peribadi buat saya,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat