Zuraida Nafi Tuduh Anwar Lemahkan Demokrasi Dalam PKR

PETALING JAYA – Zuraida Kamaruddin nafi pemimpin parti yang didakwanya melemahkan demokrasi dalam artikel yang disiarkan Utusan Malaysia merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib presiden PKR itu berkata, artikel disiarkan pada 14 Januari tersebut merupakan pandangan peribadinya dan visinya sebagai pemimpin politik tanah air.

“Artikel itu visi politik saya pada masa depan dan bukannya menuding atau merujuk kepada mana-mana parti tertentu,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke Mana Hala Tuju Politik Negara semalam.

Zuraida berkata, tafsiran sesetengah pihak bahawa artikel berkenaan kritikan terhadap Anwar adalah tidak benar dan andaian semata-mata.

Dalam artikel itu, Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, menyifatkan mereka yang tidak bertanding dalam pemilihan parti tetapi menerima pelantikan sebagai “pengkhianat sebenar” dan “pengecut”.

Zuraida dilihat berada dalam kem penyokong Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika pemilihan parti yang berakhir hujung tahun lalu.

Azmin dan bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang dilihat sebagai orang setia Anwar, terlibat dalam pertandingan sengit untuk jawatan timbalan presiden. Azmin mengekalkan jawatannya setelah menang tipis di beberapa negeri.

Pada 29 Disember Azmin mempersoalkan pemilihan beberapa individu mengisi jawatan dalam parti. Mereka termasuk Rafizi, yang dilantik sebagai naib presiden dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai setiausaha agung.

Zuraida turut mempersoalkan pemimpin-pemimpin parti dan lain-lain yang beliau dakwa melemahkan demokrasi dengan meletakkan orang-orang mereka sendiri di peringkat atas.

“Dalam parti-parti paling kukuh di Malaysia, kerosakan awal sedang berlaku di akar umbi. Terdapat mereka dalam kepimpinan parti yang mahu menafikan suara akar umbi.

“Sebagai contoh, ada parti yang melantik mereka yang kalah dalam pemilihan parti dengan meletak mereka di jawatan yang sama dengan yang menang. Ini adalah pengkhianatan secara terang-terangan terhadap hasrat akar umbi,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.