Wanita Agih ‘Duit Minyak’ Ketika Kempen PRK Cameron Highlands Disoal Siasat SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang gambarnya dirakam ketika sedang mengagihkan wang kepada sekumpulan ‘sukarelawan’ sewaktu kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, sudah disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Memetik sumber, Astro Awani melaporkan bahawa wanita itu hadir ke pejabat SPRM di Tanah Rata pada jam 7 malam semalam, dan soal siasat hanya berakhir tiga jam kemudian.

Laporan itu menyebut bahawa wanita berkenaan enggan bercakap dengan media sambil menutup wajahnya dengan sehelai jaket.

Terdahulu, gambar wanita itu yang memakai baju t-shirt merah tertera tulisan Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada sekumpulan pemuda menjadi tular di laman sosial.

Bagaimanapun pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk calonnya, M Manogaran berkata, wang tersebut adalah ‘duit minyak’ sukarelawan mereka yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

PH juga berpendapat bahawa tindakan tersebut tidak melanggar undang-undang pilihan raya. 

Ia sekaligus menimbulkan kritikan pelbagai pihak khususnya pembangkang yang mendakwa pemberian ‘duit minyak’ tetap dikira sebagai rasuah. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.