UMNO Bukan ‘Homestay’ Untuk Mereka Keluar Masuk Sesuka Hati – Tengku Putra Haron

KUALA LUMPUR – UMNO bukan ‘homestay’ atau inap desa untuk mana-mana bekas ahli Parlimen parti itu menumpang teduh dan bebas keluar masuk untuk memuaskan kehendak politik sendiri.

Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menyifatkan mereka yang berkenaan sebagai “tiada jiwa”.

Dia mengibaratkan pihak berkenaan sebagai tiada kesedaran terhadap parti yang pernah berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk negara satu masa dahulu.

“UMNO adalah parti Melayu terbesar yang telah mendapatkan kita kemerdekaan, mempertahankan kedudukan agama Islam dan hak keistimewaan kaum bumiputera sekali gus memperjuangkan institusi Raja Berperlembagaan.

“Maka dengan daulat institusi tersebut dan keramat parti kita, penderhaka dan pengkhianat kepada agama dan bangsa harus dilayan dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Tengku Putra berkata demikian ketika mengulas desas-desus enam ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan keluar UMNO bulan lalu dan dijangka memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Difahamkan, keenam-enam ahli Parlimen itu kembali semula ke dalam UMNO kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka dibuat akhir bulan lalu.

Sumber parti memberitahu, sudah ada perbincangan antara keenam-enam ahli Parlimen itu dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Seri Ikmal Hisham (Tanah Merah) dan Datuk Mohamad Fasiah (Sabak Bernam).

Tengku Putra turut mempersoalkan tujuan ahli Parlimen berkenaan jika benar mahu masuk semula ke dalam UMNO.

“Adakah mereka benar-benar ingin pulang kerana takut diambil tindakan undang-undang oleh parti di bawah ‘The Doctrine of Legitimate Expectation’ kerana mengkhianati rakyat yang telah mengundi mereka di atas tiket UMNO serta BN?

“Atau adakah mereka baru sedar bahawa di bawah parti pemerintah hari ini, sudah tiada tempat untuk pengkhianat UMNO yang dipanggil ‘sampah’ yang hendak menumpang berteduh dan mendapat jawatan serta habuan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pakatan Harapan (PH)?” soalnya.

Tegas Tengku Putra lagi, akar umbi berharap Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengenakan beberapa syarat atau hukuman seandainya permohonan ahli Parlimen berkenaan dipertimbangkan untuk memasuki semula parti.

“Mereka tidak boleh kembali memegang jawatan dalam parti yang mereka sandang sebelum mereka meninggalkan UMNO.

“Mereka tidak boleh bertanding atau memegang apa-apa jawatan atas perlantikan selama dua penggal UMNO iaitu selama enam tahun.

“Mereka juga tidak boleh dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk satu penggal iaitu sehingga PRU16,” tegasnya.

Tambahnya, kepulangan mereka ke dalam UMNO mestilah hanya sebagai ahli Parlimen dan ahli biasa bernombor siri keahlian yang baru dan bukan sebelum ini.

“Ini amatlah penting untuk dipertimbangkan demi memberi keadilan kepada akar umbi yang selama ini tekad dan taat setia bersama parti walaupun dihina serta dicaci oleh penyokong kerajaan kerana huru-hara yang dicetuskan ahli-ahli Parlimen tersebut,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.