Belum Ada Permohonan Dari Bekas MP UMNO Nak ‘Rujuk’ Kembali, Kata Tokmat

KUALA LUMPUR – UMNO belum menerima permohonan daripada mana-mana bekas Ahli Parlimennya yang ingin kembali menyertai parti itu.

Timbalan Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun parti itu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertainya.

“UMNO sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai dan menjadi ahli UMNO.

“Syarat dan proses untuk menjadi ahli adalah tertakluk kepada seperti apa yang diperuntukkan oleh perlembagaan dan peraturan pentadbiran parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi mengulas mengenai ura-ura enam Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini meninggalkan parti tersebut mahu kembali seperti yang dilaporkan media semalam.

Enam Ahli Parlimen itu yang kini menjadi wakil Bebas selepas meninggalkan UMNO pada 14 Dis lepas ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Dalam pada itu Ikmal Hisham yang dipetik BH Online menafikan spekulasi yang mengatakan bahawa beliau antara enam ahli parlimen yang dijangka memohon menyertai kembali parti UMNO.

“Buat masa ini, saya masih ahli parlimen bebas dan belum memikirkan lagi untuk menyertai mana-mana parti.

“Orang beranggapan saya akan menyertai parti Pakatan Harapan (PH)… Mana tahu saya menyertai PAS atau mewujudkan parti baru.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu memberi komen pasal isu ini kerana tidak mahu mengguris hati sesiapa terutama pemimpin Umno kerana mereka semua adalah kawan saya,” katanya yang dipetik oleh portal itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.