Anwar Akan Ganti Wan Azizah Sebagai TPM?

Beberapa hari sebelum seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) bersuara minggu lalu, desas-desus ini sudah tersebar di kalangan beberapa aktivis PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan berminat menyertai Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menggantikan jawatan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai tokoh nombor dua negara.

Rabu lalu, tiba-tiba muncul saranan daripada ketua Amanah Permatang Pauh Zaidi Zakaria agar Anwar kembali dalam Kabinet sebagai timbalan perdana menteri.

Beliau menyeru Wan Azizah, bekas presiden PKR tetapi masih presiden Pakatan Harapan (PH), memberi laluan kepada suaminya untuk mengambil alih tugas berkenaan.

Namun gesaan yang ganjil dan tiba-tiba itu kelihatan tidak bersambut. Tiada media mengejar perkembangan ini, sementara tiada pemimpin utama Pakatan Harapan atau pembangkang mengulasnya.

Mahukah Anwar menjadi timbalan Dr Mahathir sekali lagi selepas insiden gempar pemecatannya pada 1998? Apakah langkah ini jalan pintas terakhir selepas kumpulan Anwar dikatakan sudah lelah meraih sokongan wakil rakyat Umno dan PAS?

Seorang pemimpin muda PKR “tiada masalah” jika cadangan itu menjadi kenyataan dan melihatnya sebagai “proses peralihan kepimpinan demi menjaga kestabilan PH dan negara”.

Tanpa mengetepikan konsensus awal gabungan itu, bahawa Anwar sebagai perdana menteri menunggu, sumber PKR itu berkata usaha itu juga tidak boleh dilihat “tergopoh-gapah”.

“Beliau [Anwar] selaku ahli parlimen sentiasa fokus kepada tugasnya, aktif di Parlimen mengenai isu-isu rakyat dan masyarakat. Itu satu persediaan sebagai calon perdana menteri.

“Usahanya di peringkat antarabangsa, bertemu dengan pemimpin antarabangsa, juga satu persediaan bukan tergopoh-gapah [menjadi PM],” katanya, yang enggan dinamakan, ketika dihubungi ProjekMM hari ini.

“Sebagai pemimpin, perkara itu [bertemu pemimpin dunia] perlu dizahirkan sebagai bukti beliau telah bersedia untuk memimpin negara,” katanya lagi.

Usaha halang Anwar?

Walau mendakwa tidak mendengar desas-desus ini, seperti rakannya dalam parti itu tadi, seorang lagi pemimpin muda PKR menegaskan parti itu menghormati konsensus PH tersebut.

“Saya tidak pernah dengar desas-desus itu atau ada gerakan [untuk itu]. Kita hormat Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Kita hormat konsensus Pakatan Harapan,” kata pemimpin itu minggu lalu.

“Isu ini tidak wajar ditimbulkan. Tiada perubahan Kabinet walaupun kepimpinnan parti [PKR] telah berubah. Kita kekal Kabinet dan memberi ruang untuk melaksanakan tanggungjawab.”

PKR memilih Anwar sebagai pengganti Azizah tanpa cabaran pada November lalu. Namun dua kumpulan parti itu bersaing sengit dalam pemilihan selama dua bulan mulai September lalu.

Kini ketegangan antara Anwar dan kumpulan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali dikatakan mula timbul susulan kritikan mereka berhubung pelantikan barisan pemimpin pusat dan juga pengerusi negeri.

Malah gerakan mendadak ahli-ahli parlimen Umno di Sabah dan Semenanjung meninggalkan parti itu bulan lepas dikatakan sebahagian langkah mengukuhkan gerakan Dr Mahathir dan sekali gus untuk menghalang Anwar kembali ke Kabinet.

Ura-ura ini tidak jelas di mata umum tetapi di kalangan aktivis parti ada yang melihatnya usaha memastikan Dr Mahathir tidak dicabar agar melepaskan jawatan lebih awal.

Sekali gus, kononnya, langkah itu untuk mencantas usaha kumpulan Anwar mengumpul kekuatan daripada pembangkang demi memastikan peluangnya sebagai perdana menteri terjamin.

Kempen burukkan Anwar

Dalam temubual The Hindu minggu lalu, ketika Anwar melawat India, beliau tidak mengulas soal akan menyertai Kabinet sebagai timbalan perdana menteri. Beliau hanya mengulangi pendirian isterinya sedia melepaskan jawatan dalam Kabinet jika beliau memimpin negara.

Ada pihak melihat cadangan agar Anwar menggantikan Azizah sebagai tokoh nombor dua dapat meredakan spekulasi beliau mahu dihalang menjadi perdana menteri. Ia boleh memberikan kestabilan kepada puak-puak PKR, meredakan persaingan dalam PH dan juga melancarkan pentadbiran kerajaan.

Apatah lagi ada kempen melalui video dan media sosial memburukkan moral Anwar, sekali lagi. Malah, sebuah buku Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM dikatakan akan diedarkan. Reka bentuk kulit buku tersebut disebar melalui WhatsApp dan juga Facebook.

Namun, soal yang lebih menarik, sediakah Wan Azizah melepaskan jawatannya? Kakitangan beliau di pejabat timbalan perdana menteri dikatakan sudah mula serasi dan menyenangi gaya kepemimpinannya.

“Azizah disenangi kakitangan di pejabat timbalan perdana menteri. Cara beliau mempengerusi mesyuarat pun cukup OK,” kata seorang pemerhati politik yang dekat dengan PH dalam satu pertemuan dengan ProjekMM minggu lalu.

Walau apa pun berlaku, jika benar Anwar bakal menjadi timbalan perdana menteri, selepas persetujuan Wan Azizah, maka tamatlah spekulasi siapa pengganti sebenar Dr Mahathir.

Langkah ini akan meyakinkan lagi perdana menteri memang memegang erat janjinya, yang sudah diulangi beliau beberapa kali, sekali gus menyempurnakan impian 20 tahun Anwar untuk berada di tangga paling atas. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.