Video: Runtuhan Depan Lobi Bursa Saham Indonesia

SEKURANG-KURANGNYA 75 cedera, termasuk sekumpulan penuntut kolej yang berada di atas beranda bangunan bursa saham Indonesia di Jakarta, runtuh hari ini.

Ketika kejadian, kumpulan penuntut antara 40 hingga 50 orang itu sedang mengikuti lawatan di Menara II Bursa Efek Indonesia (BEI).

Jurucakap polis, Setyo Wasisto, yang mengesahkan kejadian itu adalah kemalangan, bukannya akibat letupan berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Saya lihat ramai mangsa yang berdarah. Ramai mangsa diusung keluar dari bangunan ke atas rumput menunggu ambulans tiba,” kata Rizki Noviandi, antara penuntut yang mengambil bahagian dalam satu pertandingan dalam bangunan itu.

Beranda di lobi bangunan yang runtuh itu terletak berhampiran kafe Starbucks.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono memberitahu, kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tangan, termasuk ada yang patah tulang.

Kejadian berlaku tidak lama selepas tengah hari ketika pasaran berhenti untuk rehat tengah hari.

Walaupun suasana kecoh, jurucakap bursa saham, Rheza Andhika memberitahu pasaran diteruskan seperti biasa pada sesi petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.