Suami Isteri Dera 13 Anak

LOS ANGELES – Sepasang suami isteri di selatan California ditahan selepas didapati melakukan penderaan terhadap 13 orang anak mereka dengan merantai, mengurung dan dibiarkan tanpa makan minum yang cukup.

Menurut agensi berita Xinhua dari kenyataan Jabatan Syerif Daerah Riverside, pasangan David Allen Turpin, 56 tahun, dan isterinya, Louise Ann Turpin, 49 tahun, menetap di Perris, sebuah bandar terletak 100 kilometer di timur Los Angeles, ditahan pada Ahad.

Penahanan itu dibuat selepas seorang daripada mangsa, remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya melarikan diri dan kemudian menghubungi polis.

Remaja itu memaklumkan 12 lagi adik-beradiknya dikurung di dalam rumah mereka dan ada sebahagiannya dirantai serta dikunci dengan mangga.

“Siasatan lanjut polis mendapati beberapa kanak-kanak diikat pada katil dalam keadaan persekitaran yang gelap dan busuk.

“Polis percaya terdapat 12 mangsa di dalam rumah dan paling mengejutkan terdapat mangsa dewasa berumur antara 18 hingga 29 tahun,” menurut kenyataan itu.

Mangsa ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus. Kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital.

David dan Louise Turpin didakwa melakukan penderaan dan penyeksaan terhadap kanak-kanak dengan ikat jamin ditetapkan AS$9 juta (S$11.9 juta) setiap seorang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.