Shah Iskandar Ditipu Ejen Pelancongan

PELAKON Shah Iskandar Mahfuz, 36, mengaku pernah menjadi mangsa penipuan syarikat pelancongan tempatan yang mendakwa menyediakan tiket murah ke Ireland.

Katanya, dia meminta isterinya membuat tempahan tiket melalui kawan yang juga ejen pelancongan pada September lalu kerana mahu menyambut tahun baru di sana.

“Ketika itu tiket ke Ireland dikatakan murah hanya RM10,400 dan kami merancang untuk menyambut tahun baru di sana.

“Kami tempah pada September dan ejen meminta kami membayar RM10,400 secepat mungkin. Pada awal boleh dipercayai sebab kami tidak pernah beli tiket penerbangan melalui ejen,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, apabila transaksi RM10,400 dilakukan pada Oktober, ejen itu memberitahu pas masuk hanya akan diperolehi sehari sebelum penerbangan pada pertengahan Disember.

“Apabila diperiksa status penerbangan di atas talian pada awal Disember, kami dapat tahu tempahan dibatalkan kerana bayaran belum dibuat.

“Saya dan isteri cuba menghubungi ejen itu bagi mendapatkan penjelasan tetapi pelbagai alasan diberikan.

“Selepas melakukan penyelidikan latar belakang syarikat, rupa-rupanya ia syarikat sama yang didakwa pernah menipu beberapa jemaah umrah membabitkan kerugian hampir RM 2 juta beberapa tahun lalu,” katanya.

Kata Shah, dia beritahu ejen itu sekiranya duit tidak dipulangkan, laporan polis akan dibuat kerana urusan jual beli adalah antara isterinya dan ejen.

“Hanya selepas itu baharulah duit kami dijelaskan semula melalui pindahan wang dalam talian beberapa hari sebelum sambutan Krismas tahun lalu.

“Akhirnya saya memilih bercuti ke Korea Selatan bagi memujuk isteri yang bersedih dengan insiden yang hampir merugikan kami,” katanya.

Shah menyarankan pengguna yang mahu menggunakan khidmat ejen pelancongan melakukan penyelidikan agar tidak menjadi mangsa penipuan selepas ini.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.