Polis Tembak Mati Dua Suspek Samun

Polis menembak mati dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Indonesia, yang dipercayai ingin melakukan samun berhampiran Taman Sri Bayan, Durian Tunggal di Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata suspek dipercayai terlibat dalam lapan kes samun iaitu dua kes di Kuala Lumpur, di Johor (dua) dan empat di Selangor.

Beliau berkata pada 12.54 tengah hari tadi, sebuah pasukan khas dari Bukit Aman sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan itu sebelum tersempak dengan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz E502 yang meragukan serta mengarahkan kereta tersebut berhenti.

“Namun seorang daripada suspek telah melepaskan tembakan ke arah polis sebagai mempertahankan diri, polis kemudiannya melepaskan tembakan balas ke arah suspek. Suspek meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di ALor Gajah hari ini.

Beliau berkata polis menemukan sepucuk pistol jenis Norinco bersama tiga butir peluru hidup dan sebutir kelongsong peluru.

“Siasatan awal polis mempercayai bahawa kedua-dua suspek merancang untuk melakukan samun di Cheng hari ini,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.