PM Arah Siasatan dan Audit Forensik Isu Tanah FELDA Diteruskan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan audit forensik dan siasatan polis akan diteruskan, walaupun FELDA memperoleh kembali tanahnya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak.

Perdana Menteri menerusi akaun Twitter rasminya hari ini, turut menyatakan kesyukuran kerana pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mengembalikan tanah FELDA tanpa sebarang kos.

“Alhamdulillah, tanah Jalan Semarak FELDA telah dikembalikan tanpa sebarang kos. Walaupun begitu, saya tegaskan bahawa audit forensik dan siasatan polis akan tetap diteruskan,” katanya.

Pada sidang media semalam, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad yang mengumumkan perkara itu turut menegaskan siasatan polis dan audit forensik yang sedang berjalan akan diteruskan.

Shahrir dilaporkan berkata, projek KLVC diteruskan pemaju dengan mengehadkan ‘power of attorney’ atau kuasa wakil penuh terhadap pembangunan dan status tanah terbabit.

Semua tanah yang terbabit dalam pindah milik tanpa pengetahuan dan kelulusan FELDA sebelum ini, kembali kepada agensi itu berserta dokumen untuk melaksanakan proses pindah milik.

Daripada 16 geran tanah terbabit, satu geran berada di Pesuruhjaya Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pejabat Tanah Kuala Lumpur dan tiada kos yang terbabit dalam pindah milik itu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.