OST The Greatest Showman Melonjak Di Carta

Tak banyak album runut bunyi (OST) filem yang berjaya mendapat tempat dan menduduki carta teratas dalam tempoh lebih daripada seminggu.

Terbaru, album OST The Greatest Showman berjaya membuktikan kemampuan lagunya setanding dengan lagu lain.

Album hasil karya Benj Pasek dan Justin Paul itu mempertaruhkan 11 lagu susunan mereka dan menampilkan beberapa pelakon yang menyanyikan sendiri lagu terbabit.

Antaranya Hugh Jackman, Keala Settle, Zac Efron, Zendaya, Michelle Williams dan ramai lagi.

Sejak 10 tahun lalu, 21 lagu album OST berjaya berada di tangga pertama dan daripada semuanya, hanya lima yang mampu bertahan lebih daripada seminggu.

Selain The Greatest Showman yang buat masa sekarang menggungguli carta Billboard 200 selama dua minggu berturut-turut, album OST lain adalah Suicide Squad: The Album (dua minggu dalam 2016), Guardians of the Galaxy: Awesome Mix Vol 1 (dua minggu dalam 2014), Frozen (13 minggu dalam 2014) dan Glee: The Music Volume 3 – Showstoppers (dua minggu dalam 2010).

Empat lagu daripada album The Greatest Showman muncul buat pertama kali dalam carta Billboard Hot 100 pada 13 Januari, bermula dengan lagu This Is Me nyanyian Keala Settle.

Bagi Pasek sendiri, dia tidak menjangkakan sambutan sehebat itu.

“Saya sendiri tak percaya dengan berita itu. Saya dan Paul berhubung menerusi pesanan mesej dan saling tertanya-tanya sama ada berita itu adalah benar atau sekadar rekaan,” katanya.

Album itu secara keseluruhan bermula di carta Billboard 200 di tangga ke-71 empat minggu lalu sebelum naik ke tangga 63 dan kemudian terus melonjak ke tangga kelima minggu lalu.-Hmetro

• ALBUM: The Greatest Showman

• PENULIS: Pasek & Paul

• TERBITAN / EDARAN: Atlantic

• PENERBIT: Greg Wells, Justin Paul & Benj Pasek

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.