Malaysia-Singapura Ulangi Komitmen Selesai Isu Pulau Batu Puteh Melalui ICJ

SINGAPURA – Malaysia dan Singapura sekali lagi menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengikut undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 di sini, kedua-dua pemimpin menarik perhatian kepada permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman dan interpretasi Penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei, 2008 yang difailkan, masing-masing pada 2 Feb, 2017 dan 30 Jun, 2017.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sebelumnya bertemu bagi Pemukiman tersebut.

Menurut kenyataan itu yang mengandungi enam muka surat, kedua-dua pemimpin sekali lagi menegaskan komitmen untuk memastikan hubungan yang positif lagi stabil.

Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan kemajuan baik dalam hubungan dua hala sejak Pemukiman Pemimpin di Putrajaya, Malaysia pada 13 Dis, 2016, kata kenyataan itu.

Mereka juga mengalu-alukan kerjasama yang sangat baik dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama, termasuk kesalinghubungan, memerangi keganasan, pendidikan, projek usahasama dua hala dan dalam ASEAN.

Mengenai sektor minyak dan gas, kedua-dua pemimpin menyambut baik kerjasama sektor swasta antara Pavilion Gas, anak syarikat milik penuh Pavilion Energy, dan PETRONAS LNG Ltd, anak syarikat milik penuh PETRONAS, untuk meneroka secara bersama bekalan dan pengoptimuman LNG termasuk perdagangan LNG dan pertukaran kargo.

Susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman pada Mac 2017, kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan pada Oktober yang menyaksikan satu-satunya kargo PETRONAS LNG yang pertama dihantar ke Terminal LNG Singapural.

Kedua-dua pihak juga baru-baru ini merundingkan kontrak bagi siri kargo LNG yang akan dibekalkan daripada PETRONAS LNG kepada Pavilion Gas.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menyambut baik langkah Malaysia memberhentikan caj tol di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) yang berkuatkuasa 1 Jan, 2018, dan Singapura mengambil langkah seiring dengan mengurangkan caj tol berkuatkuasa mulai 1 Feb, 2018.

Sementara itu, mengenai ASEAN, kedua-dua pemimpin sekali lagi menekankan tentang pentingnya memastikan ASEAN berdaya tahan dan inovatif di tengah-tengah perubahan landskap global.

ASEAN mesti tyerus bersatu untuk kekal relevan, dan untuk memastikan pertubuhan itu mengekalkan peranan utamanya sebagai penggerak utama 6 yang boleh menangani cabaran dan peluang, kata kenyataan itu.

Lee mengucapkan terima kasih kepada Najib atas sokongan penuh Malaysia untuk kepengerusian Singapura bagi ASEAN pada 2018, yang memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan dan menegakkan order serantau berasaskan peraturan, meningkatkan kerjasama untuk menghadapi cabaran keselamatan yang baharu; menerapkan integrasi ekonomi serantau yang lebih mendalam dan meningkatkan kesalinghubungan serantau; dan mencari cara inovatif untuk mengurus dan memanfaatkan teknologi digital.

Kedua-dua Pemimpin bersetuju untuk mengadakan Pemukiman ke-9 pada 2018 di Malaysia, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.