Jepun Kritik China Guna Kapal Selam Berkuasa Nuklear

TOKYO – Kementerian Pertahanan Jepun mengkritik China hari ini kerana belayar menggunakan kapal selam berkuasa nuklearnya berhampiran kepulauan dituntut kedua-dua negara.

Katanya, tindakan China itu boleh menimbulkan ketegangan di antara negara itu dan Jepun.

Kapal selam yang dikesan di Laut China Timur adalah kapal Shang, bersaiz 110 meter panjang dan mampu menyelam lebih dalam dan lama berbanding kapal terdahulu, selain turut dilengkapi peluru torpedo dan peluru berpandu anti kapal.

“Mengendalikan kapal selam dekat dengan wilayah negara lain adalah menentang norma dan peraturan antarabangsa,” kata Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera kepada wartawan.

Walaupun kapal China dilihat sering melakukan operasi berhampiran kepulauan Jepun di pinggir Laut China Timur, kehadiran kapal selam canggih itu dilihat sebagai ancaman yang lebih serius oleh Jepun.

Jepun menguasai kepulauan tidak berpenghuni di Laut China Timur yang dikenali sebagai Senkaku, manakala pulau itu dikenali sebagai Diaoyu oleh China. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.