Baik Buruk Dia Tetap Abang Kami – Fadzil Zahari

KUALA LUMPUR: Bagi memberi semangat kepada abang sulung, adik Datuk Farid Kamil Zahari yang sedang belajar di India sanggup bercuti dan pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga.

Anak kedua daripada lima bersaudara, Fadzil memberitahu, adik bongsu yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di India, bercuti sejak Sabtu lalu.

Fadzil berkata, biar apa pun yang terjadi, mereka lima bersaudara sudah berjanji tidak akan sesekali meninggalkan atau mengetepikan Farid yang sedang berdepan ujian berat.

“Buat masa ini, paling penting adalah sokongan semua terutama kami sebagai saudara terdekatnya. Ini kerana sama ada baik atau buruk, dia tetap abang sulung kami.

“Tambahan pula mak dan ayah berada di kampung di Jitra, Kedah. Mereka sudah berusia, jadi biarlah segala urusan Farid, kami adik beradik yang pantau,” katanya kepada BH.

Selain Farid dan Fadzil, tiga lagi adik mereka ialah Dr Azman Aizuddin, Dr Anis Anwar dan adik bongsu, Nurdianah.

Farid ditahan reman sehari lagi atas dakwaan menampar anggota polis trafik di Kota Damansara dan menendang dua orang awam, Khamis lalu.

Fadzil berkata, Azman yang bertugas di sebuah hospital menjaga ibu bapa mereka di Kedah, manakala yang lain menunggu perkembangan kes Farid, di sini.

Fadzil dan adiknya yang hadir di Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi tadi, mengaku lega melihat perubahan Farid yang tampak lebih ceria biarpun direman lagi.

“Berbeza dengan keadaan abang yang tampak murung dan tertekan beberapa hari lalu, abang dilihat sudah kembali seperti biasa. Dia sempat bertanya khabar dengan kawan-kawan dan rakan media di mahkamah.

“Selepas ini, kami akan membawa abang menjalani pemeriksaan perubatan bagi memastikan dia sihat dari segi mental dan fizikal,” katanya.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.