Aishah Dapat ‘Rezeki Rimau’

KUALA LUMPUR: Penyanyi berpengalaman, Aishah, 53, mengakui kehidupannya berubah selepas kembali mendapat tempat di hati peminat.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, berkata beliau tidak menyangka masih memiliki peminat yang setia menyokongnya, apatah lagi selepas beberapa tahun tidak aktif menyanyi.

“Saya terharu dengan sokongan peminat, ini adalah ‘rezeki rimau’ buat saya.

“Saya tidak pernah mempunyai kelab peminat sejak lebih 30 tahun bergelar penyanyi. Tetapi hari ini, saya memiliki Aishah FC, yang kini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya.

“Semuanya bermula dengan pembabitan saya dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4). Apabila pihak penganjur menyediakan 20 hingga 30 tiket untuk seseorang peserta, saya tidak tahu hendak beri siapa.

“Akhirnya, ada insan yang saya percaya, sudi untuk menerajui Aishah FC.

“Alhamdulillah, walaupun program GV4 sudah melabuhkan tirai, hubungan kami masih baik, malah masing-masing sentiasa berhubung,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran kelab peminatnya, Aishah FC, di sini.

Pada majlis itu, Aishah FC juga membuat kejutan meraikan ulang tahun ke-53 penyanyi yang pernah popular dengan lagu Janji Manismu dan Kemaafan Dendam Yang Terindah itu.

Aishah berkata, selain sokongan peminat, beliau juga kini menerima kiriman hadiah setiap hari.

“Jika pada awal kemunculan dulu, tiada yang sudi menaja saya, tetapi hari ini sebaliknya. Setiap hari, saya pasti bertemu dengan posmen, ada saja hadiah mahu pun produk yang dihantar ke rumah.

“Sekurang-kurangnya satu produk atau hadiah mesti ada. Saya berterima kasih kerana setiap produk yang dihantar, sama ada untuk dibuat ‘review’ atau sebagainya, semuanya saya cuba pakai.

“Saya hargai pemberian peminat,” katanya disulam ketawa kecil.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.