Padah Tinggalkan Anak Dalam Kereta Enjin Masih Hidup

KOTA KINABALU – Seorang ibu cemas dan trauma atas kecuaian sendiri apabila dua anak kesayangannya yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa mematikan enjin, dilarikan selama 30 minit oleh pencuri bersama-sama kenderaan itu dalam kejadian di hadapan Bank Standard Chartered di sini awal pagi semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi, mangsa, Lee Yee Ping, 31, meninggalkan dua anaknya bersama kereta terbabit di tepi bank berkenaan untuk mengeluarkan wang.

 

Selesai sahaja urusan itu, Yee Ping terkejut apabila mendapati kereta Proton Wira serta dua anaknya masing-masing berusia lima dan lapan tahun itu tiada di lokasi kejadian.

 

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, terkejut dan trauma dengan perkara itu, mangsa kemudian segera membuat laporan polis di Balai Polis Kota Kinabalu di sini.

 

Menurutnya, ekoran laporan polis itu, beliau telah mengarahkan pasukan khas untuk menjalankan Op Tutup bagi mengesan anak dan kenderaan mangsa di sekitar bandaraya ini.

 

“Kira-kira 30 minit selepas kejadian, pasukan polis menemukan kereta dan anak pengadu yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan di belakang Klinik Malaysia, Jalan Gaya di sini.

 

“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua anak mangsa selamat tanpa kecederaan manakala kereta miliknya juga dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

 

Tambah Chandra, siasatan awal pihaknya percaya suspek hanya menumpukan untuk mencuri kenderaan itu dan bukan mahu menculik kanak-kanak berkenaan.

 

Bagaimanapun, katanya, niat untuk melarikan kenderaan itu terbantut apabila mendapati terdapat dua kanak-kanak di dalam kereta tersebut.

 

“Kita giat memburu pencuri tersebut yang dilaporkan berusia awal 30-an, memakai baju T serta berseluar pendek hitam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan 363 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

 

Selain itu, Chandra menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan selain mematikan enjin ketika meninggalkan kereta. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.