Indonesia tolak bantuan negara luar tanggani keganasan

JAKARTA – Kerajaan Indonesia menolak bantuan daripada negara-negara luar untuk menangani masalah keganasan selepas peristiwa letupan bom dan tembak-menembak di hadapan pusat beli-belah Sarinah di Jalan Thamrin, Jakarta Pusat, Khamis lalu.

 

Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Luhut Binsar Panjaitan berkata, banyak negara luar menawarkan untuk memberi bantuan dalam menangani masalah keganasan tetapi kerajaan merasakan masih mampu menanganinya.

 

Seperti yang dipetik daripada Antara, Luhut memberitahu, negara-negara tersebut menawarkan bantuan teknik tetapi kerajaan Indonesia berpendapat pihak keselamatan mempunyai peralatan yang canggih dan masih mampu menangani keadaan.

 

Sehari selepas kejadian tersebut yang mengorbankan tujuh orang termasuk lima penyerang terlibat, pasukan polis anti-keganasan Indonesia, Densus 88 Antiteror melakukan serbuan di beberapa wilayah di republik itu dan menahan beberapa orang yang disyaki terlibat dengan kejadian tersebut.

 

Beberapa orang yang disyaki pengganas juga ditahan di Bekasi, Tegal, (Jawa Tengah), Cirebon dan Depok (Jawa Barat) dan Balikpapan.

 

Sementara itu di Jakarta, sepasukan polis melakukan penggelidahan di salah sebuah rumah salah seorang yang disyaki penyerang semasa kejadian Khamis lalu di Meruya, Jakarta Utara.

 
Rumah tersebut disyaki dijadikan tempat membuat bom yang digunakan dalam insiden pengeboman tersebut.

 

Pasukan keselamatan Indonesia kini memperketatkan kawalan keselamatan di beberapa lapangan terbang di negara ini, selain melakukan serbuan di beberapa tempat di kawasan sempadan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.