‘Saya Pertahan Hak Orang Melayu’

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menolak dakwaan sesetengah pihak yang melabelnya sebagai rasis selepas memberi ucapan sewaktu Konvensyen Perpaduan Nasional November tahun lalu.

 

Katanya, kandungan ucapan yang disampaikan sewaktu konvensyen tersebut menyentuh soal Perlembagaan Persekutuan iaitu hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan kesucian Islam.

 

“Itu adalah pandangan peribadi saya dan ucapan itu bukan disebabkan oleh desakan mana-mana pihak.

 

“Ada pihak menyerang saya dengan mengatakan saya telah menjadi ahli Perkasa (Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia). Untuk makluman, saya tidak menganggotai mana-mana pertubuhan,” katanya selepas majlis Penyerahan Memorandum Konvensyen Perpaduan Nasional di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri, semalam.

 

Beliau menjelaskan, kaum Melayu di negara ini tidak pernah mempersoalkan keistimewaan yang  dikecapi kaum lain.

 

“Kedudukan agama Islam dalam Perkara 3 dan undang-undang syariah dalam Jadual 9 tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak.

 

“Sebagai contoh, saya cuba mempertahankan apa yang saya miliki dari diambil oleh orang lain jadi siapa sebenarnya yang rasis?” katanya.

 

Hamid berkata, perjuangan beliau hanya untuk mempertahankan kontrak sosial yang terdapat dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui semua kaum.

 

“Orang Melayu sudah banyak bertolak-ansur semenjak negara kita mencapai kemerdekaan dengan memberikan status warganegara kepada kaum lain.

 

“Pada malam 31 Ogos 1957, bilangan warga Malaya bertambah sekali ganda dan jika dilihat pada pilihan raya 1955 jumlah pengundi Melayu ada 83 peratus keseluruhan tetapi pada 1959 jumlah ini berkurangan kepada 55 peratus. Ini menunjukkan betapa liberalnya kita memberi kerakyatan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Konvensyen Perpaduan Nasional, Datuk Azih Muda berkata, Memorandum Perpaduan Nasional yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengandungi 54 usul terdiri daripada 19 usul berkaitan Perlembagaan dan perundangan negara, 20 usul berkenaan sosio ekonomi dan tujuh usul berkaitan hal ehwal agama Islam.

 

“Memorandum berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh 320 NGO Melayu dengan tema Perpaduan Rakyat Malaysia Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.