Sam Innuendo Buat duit guna suara

INNUENDO suatu ketika dahulu terkenal dengan lagunya berjudul Belaian Jiwa serta genre acapella dan R&B yang diketengahkan kumpulan tersebut. Membariskan ahli-ahlinya seperti Sam, Taj, Pot dan Reymee, kumpulan berkenaan amat dikenali sekitar awal 90-an.

 

Bertemu dengan salah seorang ahlinya iaitu Sam atau nama sebenarnya Shamsyul Azhar Nazeer, dia kini bergerak solo dalam bidang nyanyian memandangkan rakan-rakannya yang lain sibuk dengan urusan masing-masing.

 

Sam berkata, selain masih aktif menjayakan persembahan pentas di majlis-majlis keramaian, dia sebenarnya sudah agak lama membabitkan diri di belakang tabir sebagai penyumbang vokal dalam bidang alih suara.

 

“Bidang alih suara ini agak menarik untuk diceburi kerana menguji ketajaman mata membaca gerak bibir bahasa asing agar ia nampak sama dengan tutur kata yang keluar dari mulut saya.

 

“Pada masa yang sama, saya perlu bijak memilih perkataan yang sesuai supaya ia tidak nampak jauh ‘lari’ daripada pertuturan asal. Sememangnya, skrip telah disediakan tetapi ia hanya terjemahan secara asas.

 

“Pemilihan kata-kata yang berpadanan dengan pergerakan bibir pelakon asal atau animasi bergantung kepada empunya pemilik suara yang terlibat agar ia seiring,” ceritanya serba sedikit mengenai pengalaman yang diperoleh.

 

Di samping itu, kelunakan vokal yang dimiliki juga dimanfaatkan sepenuhnya apabila turut menceburi bidang komersial dengan menyumbangkan suara untuk lagu-lagu iklan.

 

“Orang putih kata lagu jingle yang diguna pakai untuk mempromosikan produk-produk di kaca televisyen atau mana-mana medium. Ia satu peluang yang baik untuk saya menambahkan pendapatan sampingan. Sangat berbaloi kerana persaingan kurang,” tambahnya.

 

Mengulas mengenai keaktifan dirinya di arus perdana muzik tempatan, Sam menjelaskan dia mahu kembali aktif menyanyi.

 

Memilih genre balada yang bersesuaian dengan vokalnya, Sam memberitahu, dia masih lagi dalam proses memilih lagu terbaik sebagai single pertamanya selaku penyanyi solo.

 

“Sekarang saya sudah mempunyai dua buah lagu ciptaan komposer baharu. Tetapi belum diputuskan yang mana satu sesuai untuk dijadikan single. Masih dalam perbincangan. Segalanya perlu diteliti supaya tidak menjadi gajah putih.

 

“Buat masa ini, saya juga sedang menurunkan berat badan sebagai langkah persediaan untuk aktif semula. Dulu berat badan saya 92 kilogram, sekarang pula dah turun sehingga 80 kilogram.

 

“Saya mengamalkan pemakanan berjadual serta melakukan banyak senaman. Semua ini demi stamina apabila menjayakan persembahan pentas kelak dengan single terbaharu.

 

“Apabila berat dah susut, saya rasa lebih cergas dan mudah untuk bergerak tanpa lelah macam nak putus nafas. Kalau tak, saya asyik semput dan sering termengah-mengah. Sekarang alhamdulillah dah okey sikit,” jelasnya yang tampak lebih segak berbanding dulu.

 

Katanya, dengan keadaan fizikalnya kini, dirinya semakin ceria.

 

“Betul seperti apa yang diperkatakan ramai orang, apabila kita rasa sihat, mood akan lebih gembira,” tuturnya menghabiskan perbualan. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.