RM635 Juta Berbaloi Beli 4 Pemain

MANCHESTER – Manchester United sepatutnya menggunakan peruntukan 117 juta pound (RM635 juta) yang diberikan oleh pihak pengurusan bagi membeli empat pemain dan bukan di­belanjakan sepenuhnya untuk mendapatkan bintang sayap Real Madrid, Gareth Bale.

 

Akhbar Britain semalam menyenaraikan empat pemain yang berbaloi untuk dibeli oleh United dengan menggunakan peruntukan tersebut.

 

Pemain itu adalah bek kanan England, Nathaniel Clyne (Southampton); bek tengah Jerman, Mats Hummels (Borussia Dortmund); pemain tengah Belanda, Kevin Strootman (AS Roma) dan Marco Reus (Jerman, Borussia Dortmund).

 

United yang kini menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris berazam untuk mengetepikan cabaran Southampton, Arsenal, Tottenham dan Liverpool bagi me­rebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

 

Justeru, pengurus Red Devils, Louis van Gaal perlu melakukan pembelian dengan penuh berhati-hati sama ada dalam pasaran perpindahan bulan ini atau selepas musim berakhir.

 

Van Gaal sudahpun membawa masuk beberapa pemain berkua­liti seperti Angel Di Maria, Radamel Falcao dan Daley Blind tetapi masih berminat untuk memburu lebih banyak bintang bagi mengukuhkan kedudukan United.

 

Ketika ini, nama bintang Wales, Bale dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, namun United perlu mengeluarkan RM635 juta untuk mendapatkan pemain lincah itu, jumlah yang dianggap kebanyakan media Britain sebagai amat tidak berbaloi.

 

Akhbar The Mirror menganggap Clyne, 24, yang boleh diperoleh dengan harga 20 juta pound (RM108 juta) mampu memberi impak lebih baik kepada Red Devils kerana pa­sukan itu perlu mengukuh­kan benteng mereka.

 

Bekas pertahanan Crystal Pa­lace itu antara pemain yang bertanggungjawab membantu Sout­hampton menumpaskan United 1-0 dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, minggu lalu.

 

Akbar berkenaan juga menganggap Hummels, 26, yang boleh diperoleh dengan harga 35 juta pound (RM190 juta) mampu membentuk kombinasi mantap bersama Clyne jika diletakkan di bek tengah.

 

Bagi akhbar Daily Star, bintang tengah Roma, Kevin Strootman yang dianggar bernilai 35 juta pound (RM190 juta) lebih berbaloi untuk dibawa masuk oleh United berbanding Bale.

 

Pemain berusia 24 tahun itu mampu menjadi perancang di bahagian tengah.

 

Untuk melengkapkan senarai empat pembelian yang wajar dilakukan United, akhbar Bild, mencadangkan pemain berusia 25 tahun, Reus yang boleh dibeli de­ngan harga 20 juta pound (RM108 juta) daripada Dortmund. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.