Nahas Bas: Wanita Selamatkan Diri Melalui Tingkap

IPOH 15 Jan. – Seorang wanita yang terselamat dalam nahas kemala­ngan bas persiaran di Kilometer 326.3 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Toh Tapah, mendakwa terpaksa merangkak keluar untuk menyelamatkan diri me­lalui tingkap kenderaan itu selepas terbabas ke longkang di tepi jalan.

 

Lim Siew Hoi, 50, yang cedera di pergelangan tangan kiri dan jari kanannya mendakwa, sewaktu kejadian, dia dan suaminya, Low Chong Hee, 58, duduk di bahagian kanan bas berkenaan.

 

“Kami menaiki bas tersebut yang datang dari Kuala Kurau, di Kamunting kira-kira pukul 11 malam. Ketika kejadian, saya tidak tidur dan ada sebiji tayar lori di tengah jalan. Bas yang kami naiki cuba mengelak, namun ter­babas ke dalam longkang.

 

“Dalam masa kira-kira dua minit, bas tersebut terbakar dan saya terdengar bunyi letupan. Penumpang yang lain menjerit ketakutan. Saya terpaksa merangkak keluar mengikut tingkap dan tangan saya terluka terkena kaca cermin,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.

 

Siew Hoi memberitahu, bas berkenaan tidak dipandu laju sewaktu kejadian.

 

“Saya nampak api tidak jauh dari tempat saya. Seorang penumpang yang duduk bertentang­an di dalam bas telah menimpa suami saya. Dia tidak bergerak, mungkin telah mati.

 

“Saya tolak lelaki itu ke tepi untuk menarik suami keluar dari bas tersebut melalui tingkap. Kami berdua kemudiannya jatuh ke dalam longkang. Saya lihat ba­nyak mangsa yang menangis dan menjerit selepas keluar daripada bas tersebut,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

 

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suaminya turut selamat dalam kejadian tersebut.

 

Sementara itu, seorang lagi mangsa warga emas, Tan Beng Seng, 62, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di bahagian belakang bas sebelum terjaga dan terpinga-pinga apabila dikejutkan dengan insiden itu.

 

“Saya nampak kebakaran di bahagian belakang bas dan melihat orang merangkak keluar,” katanya yang masih lemah selepas me­nerima 20 jahitan di telinga kanan selain mengadu rasa sakit di bahagian perutnya.

 

Isterinya, Teh Choon Hwa, 57, pula cedera di bahagian kepala dan ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB di sini.

 

Seorang lagi mangsa, Eng Tong Baeei, 67, dari Kuala Kurau yang kematian isterinya, Ong Ah Yook, 58, pula berkata, dia sedang tidur ketika kemalangan tersebut berlaku.

 

“Saya tidak sedar dan tidak tahu macam mana boleh keluar dari bas tersebut, apabila sedar, didapati saya sudah berada di hospital,” katanya yang mengalami kecederaan di bahagian telinga. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.