Kita Akan Failkan Rayuan, Dari Awal Mereka Mahu Hishamuddin Dipenjara – Syahredzan

Kuala Lumpur – Pihak pendakwa raya kes hasutan Hishamuddin Md Rais dilihat tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan terhadap aktivis itu minggu lalu.

 

Menurut peguam Syahredzan Johan, kes itu akan dibawa ke Mahkamah Tinggi selain pendakwa raya disifatkan tetap mahu hukuman penjara dikenakan terhadap Hishamuddin.

 

“Kita juga akan memfailkan rayuan. Sejak dari awal mereka mahu Hishamuddin dipenjara. Sebab itu mereka minta hukuman itu semasa rayuan hukuman.

 

“Jadi apabila keputusan ini sudah dirayu pendakwa raya, ini bermakna mereka tidak puas hati dan memang mahu hukuman penjara dikenakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Pada 9 Januari, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Mustapha telah menjatuhkan hukuman denda RM‎5,000 dan jika tidak dibayar, penjara enam bulan terhadap Hishamuddin atas kesalahan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei 2013.‎

 

Dalam pada itu, kata Syahredzan, pada awalnya mereka tidak bercadang hendak merayu sabitan namun situasi kini memungkinkan rayuan dibuat.

 

“Kita akan failkan rayuan pada minggu depan,” jelasnya.

 

Pada 29 Mei 2013, Hishamuddin bersama lima aktivis lain didakwa memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

 

Hishamuddin didakwa atas pertuduhan itu bersama-sama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammmad Safwan Anang @ Talib, 25; ahli PAS, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 64; dan peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 55.

 

Tian Chua sebelum ini turut membayangkan dirinya kehilangan kerusi Parlimen Batu seandainya hukuman sama yang dijatuhkan mahkamah kepada aktivis Hishamuddin dijatuhi ke atasnya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.