Kilang Komponen Pesawat Pertama

PENGELUAR komponen kapal terbang dan aeroangkasa, Messier-Bugatti-Dowty (Safran) dijangka mengeluarkan kira-kira 10,000 brek karbon melalui kilang yang pertama dibuka di negara ini, iaitu di Sendayan TechValley , Negeri Sembilan bermula 2017.

 

Ketua Eksekutif Safran, Jean-Paul Herteman berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menanti kelulusan dari badan antarabangsa sebelum boleh melaksanakan proses pembuatan komponan brek karbon dengan lebih lanjut.

 

Beliau berkata, dengan pembinaan kilang baharu yang lebih canggih dan berteknologi tinggi ini, pihaknya menyasarkan dapat menguasai 20 peratus daripada pasaran dunia.

 

“Bukan saja untuk pasaran Asia Pasifik, tetapi kita turut memberi fokus kepada pengeluaran pasaran dunia terutama kepada pelanggan kami iaitu syarikat pengeluar Boeing 737 dan Airbus A320.

 

“Di Asia saja setakat ini, kita telah menyediakan brek karbon untuk lebih 2,000 kapal terbang dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 5,000 pada tahun 2032.

 

“Oleh sebab itu, kita bersyukur kerana dapat membuka sebuah kilang pembuatan di Malaysia kerana kedudukan negara yang berada di tengah-tengah Asia Pasifik dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas sokongan mereka terhadap projek ini,” katanya pada sidang media selepas  perasmian kilang Messier-Bugatti-Dowty (Safran) di Sendayan TechValley, semalam.

 

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Messier-Bugatti-Dowty (Safran), Vincent Mascre; Duta Perancis di Malaysia, Christophe Penot dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan.

 

Sementara itu, Mohamad berkata, syarikat tersebut sebenarnya sebelum ini telah meninjau beberapa negara lain, namun memilih Malaysia dan Sendayan selepas menyaksikan perkembangan positif industri penerbangan awam di negara ini.

 

“Kita gembira Negeri Sembilan dipilih sebagai lokasi kepada projek pengeluaran yang berteknologi tinggi ini, malah kilang tersebut adalah yang pertama beroperasi di Malaysia dengan pelaburan RM500 juta bagi fasa pertama dan akan meneruskan fasa kedua dan ketiga.

 

“Kilang tersebut juga merupakan kilang keenam, selepas empat dibuka di Amerika Syarikat dan sebuah di Perancis,” katanya.

 

Dalam pada itu, Messier-Bugatti-Dowty, anak syarikat Safran Group, merupakan syarikat antarabangsa Perancis yang menghasilkan komponen kapal terbang dan aeroangkasa.

 

Kilang yang beroperasi di Sendayan Techvalley itu akan menghasilkan sistem brek karbon untuk kapal terbang termasuk model bagi Airbus dan Boeing. Ia  mula dibina pada suku keempat tahun lepas. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.