Isnin Hari Terakhir Faekah, 7 Pegawai Khalid Pulang Pampasan, Kata MB Selangor

Peluang terakhir kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Husin serta 7 yang lain untuk memulangkan semula RM2.6 juta pampasan sebelum tempoh sehingga Isnin depan tamat.

 

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri dan ‎MBI akan mengambil tindakan selanjutnya pada Selasa depan apabila tempoh 14 hari itu berakhir.

 

“Mereka diberikan dua minggu dan selepas tempoh itu baru kerajaan negeri dan MBI akan mengambil pendirian untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Foyer Bangunan Setiausaha ‎Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

 

Ditanya hasrat pegawai bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terbabit yang mahu mengambil tindakan mahkamah, Azmin‎ berkata pihaknya tidak menghalang jika mereka mahu berbuat demikian.

 

“Itu hak mereka. Saya tak tahu. Kita harus menghormati tempoh yang diberikan kepada mereka,” katanya.

 

Selain Faekah, tujuh bekas pegawai lain ialah Ketua Pegawai Operasi Rohani Talib, Setiausaha Akhbar Arfa’eza Abd Aziz, Setiausaha Politik Mustafa Talib, Pegawai Penyelaras Rahimah Kamaruddin, Pegawai Komunikasi Khas Dr Sulaiman Masri, Pengurus Penyelidikan Ekonomi Abdul Halim Mohd Yusuf dan Pegawai Akhbar Tuan Nazuri Ismail.‎

 

Semuanya dikatakan menerima pampasan bernilai antara RM699,000 hingga RM114,870 yang diluluskan MBI pada hari Khalid berundur bagi memberi laluan kepada Azmin pada September lalu.

 

Faekah dikatakan menerima bayaran pampasan tertinggi sebanyak RM581,400 dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

 

Pengurusan baru MBI memberikan notis arahan pemulangan sejak 6 Januari lalu, namun mereka dalam respons di beberapa laporan media mengatakan enggan memulangkan wang berkenaan dan mahu melantik wakil peguam menyelesaikan isu itu.‎

 

Sementara itu, mengulas kemungkinan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengisi kekosongan kerusi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Azmin berkata BN sepatutnya membangunkan prinsip demokrasi negeri.

 

“Itu sekali lagi kegagalan BN untuk bersama-sama membantu membangunkan prinsip demokrasi kerajaan negeri Selangor sedangkan kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengiktiraf peranan pembangkang kerana ini sistem demokrasi yang cukup mantap.

 

“Mengapa mereka ambil sikap menidakkan hak mereka bersama-sama dalam membangunkan Selangor?” soalnya.

 

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias pada 8 Disember tahun lalu melepaskan jawatannya serta merta-merta atas alasan ‘prinsip integriti’.

 

Ini berikutan keengganannya menerima jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) lantikan DUN yang meminda peraturan tetap baru yang jawatan itu wajib diisi Ketua Pembangkang. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.