Drama Papar Isu Wasiat, Faraid Mengelirukan

Kebelakangan ini terdapat banyak drama yang disiarkan di televisyen (TV) yang memaparkan kaedah pembahagian harta pusaka yang membabitkan orang Islam.

 

Malangnya hampir semua drama tersebut, tidak faham tentang konsep wasiat dalam Islam dan wajibnya orang Islam mematuhi hukum faraid apabila membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

 

Saya sangat khuatir tentang hal ini, kerana drama ini di tonton oleh kebanyakannya orang Islam.

 

Sekiranya skrip atau jalan cerita drama ini bercanggah dengan hukum Islam, dalam hal ini hukum faraid, maka penonton akan terkeliru dan akan didedahkan kepada mesej yang salah.

 

Saya tidak berhasrat untuk me­nerangkan konsep wasiat dan hukum faraid kerana ia memerlukan hujah yang panjang.

 

Memadai sekiranya saya katakan, hampir semua drama yang menyentuh tentang pembahagian harta pusaka menganggap wasiat lebih utama berbanding hukum faraid.

 

Satu drama yang agak popular masa kini memaparkan kisah pembahagian harta pusaka yang ditadbirkan oleh seorang peguam di mana si mati mengagihkan hartanya dengan tidak mengikut hukum faraid.

 

Apa yang digambarkan adalah cara orang bukan Islam mengagihkan harta mereka dengan membaca surat wasiat melalui peguam.

 

Dalam sebuah drama yang lain pula, saya terdengar dialog yang lebih kurang bermaksud; “sekira­nya si ayah yang telah mati tidak mewasiatkan hartanya, maka ia perlu difaraidkan…”

 

Ini juga salah. Dalam Islam, wasiat tidak mendahului faraid. Dalam Islam juga, wasiat bukan untuk waris.
Kiraan faraid akan menentukan bahagian harta yang akan didapati oleh waris, bukannya wasiat si mati.

 

Wasiat hanya boleh dipakai kalau semua waris menerimanya, dan waris yang menerima wasiat ini, benar-benar faham tentang hak mereka mengikut hukum faraid.

 

Saya berharap penerbit drama di kalangan orang Islam berhati-hati dalam membuat drama. Janganlah menyebarkan mesej yang salah kepada orang Islam lain.

 

Kepada stesyen TV, tentukan drama yang anda siarkan sensitif kepada agama yang ada. Stesyen TV mungkin boleh menyediakan syarat tertentu kepada penerbit drama, sekiranya drama mereka boleh mengelirukan akidah orang Islam, pihak TV berhak memberhentikan drama tersebut di sam­ping mengenakan tindakan ter­tentu.

 

Badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), perlu bertindak cepat terhadap perkara seperti ini.

 

Kalau dulu, pernah pihak berkuasa tertentu mengeledah sebuah kedai buku kerena disyaki menjual buku yang diharamkan, mengapa tindakan yang hampir sama tidak boleh dilakukan terhadap stesyen TV yang menyiarkan drama yang mesejnya tidak tepat atau bercanggah dengan ajaran Islam. – Forum Pembaca Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.