Video: Anjing Naik Bas Untuk Pergi Bersiar Ke Taman Setiap Hari

SEATTLE – Lazimnya, di negara-negara Barat mungkin pernah dilihat ada penumpang membawa anjing kecil jenis comel sebagai peliharaannya sambil menemani tuannya itu yang biasanya warga emas bersama-sama menaiki bas awam.

 

Namun ini pasti agak pelik apabila ada seekor anjing di Seattle, Amerika Syarikat yang dilaporkan sejak beberapa minggu lalu sering menaiki bas awam secara bersendirian tanpa ditemani sesiapa pun pada setiap hari, lapor media tempatan.

 

Anehnya, anjing tersebut memang bijak apabila hanya menaiki bas yang sama semata-mata hendak menuju ke sebuah taman khas anjing dikenali sebagai Kinnear Park yang terletak di negeri Washington itu serta bersempadan dengan Kanada.

 

 

“Saya tidak tahu anjing ini mampu baca kadar tambang bas tetapi ia tahu nombor bas yang membawanya ke sana,” kata jurucakap syarikat pengangkutan awam Metro Transit, Jeff Switzer secara berjenaka kepada stesen televisyen FoxNews.

 

Bagaimanapun, anjing betina bersaiz besar berwarna hitam jenis Labrador yang diberi nama Eclipse itu tidak dikenakan apa-apa tambang setiap kali menaiki bas dari hentian di Belltown menuju ke pinggir bandar Seattle dengan jarak dua kilometer.

 

Malah pemandu dan penumpang bas berkenaan sudah biasa dengan kehadiran anjing berusia dua tahun tersebut yang ‘selamba’ menaiki kenderaan awam itu dan kemudian terus duduk di kerusi dekat tingkap sambil melihat-lihat pemandangan Seattle.

 

Dalam pada itu, pemilik Eclipse, Jeff Young, 30-an, mendakwa, dia sering membawa anjing itu menaiki bas menuju ke Kinnear Park sehingga suatu hari haiwan tersebut mampu mengingati sendiri laluan itu dan meninggalkannya pula di hentian bas.

 

Setakat ini ujar Young, anjing itu pandai ‘menjaga diri’ dengan tidak membuat bising atau membuang air, bahkan kehadiran Eclipse turut menjaga keselamatan penumpang bas tersebut khasnya wanita daripada menjadi mangsa penjenayah. – Agensi / MyNewsHub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.