‘Agama Bukan Perkara Untuk Dipersendakan’, Kata Pope Francis

Pemimpin tertinggi Vatican, Pope Francis berkata beliau mengecam perbuatan membunuh atas nama Tuhan namun memberi amaran bahawa agama tidak boleh dihina dan dipersendakan.

 

Francis yang baru sahaja tiba di Manila memberikan kenyataan itu sewaktu menjawab soalan daripada wartawan di Sri Lanka sebelum berlepas ke ibu negara Filipina tersebut.

 

“Membunuh atas nama Tuhan adalah suatu yang tidak dapat diterima akal,” ujar Francis apabila ditanya mengenai insiden serangan berdarah di pejabat majalah satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 orang.

 

Charlie Hebdoi pada Rabu lalu, selepas serangan berdarah tersebut, terus menerbitkan edisi terbaru dengan memaparkan watak Nabi Muhammad.

 

Menurut Francis, setiap agama mempunyai kemuliaan dan setiap sesuatu perlu ada batasan.

 

“Kalau ada kawan baik yang bercakap buruk tentang ibu saya, dia boleh menjangkakan menerima tumbukan, dan itu adalah normal. Anda tidak boleh membuat provokasi, anda tidak boleh menghina dan mengejek kepercayaan orang lain,” jelasnya.

 

Dua beradik, Said dan Cherif Kouachi menyerbu pejabat Charlie Hebdo 7 Januari lalu dan membunuh kartunis ternama di majalah itu selepas sekian lama peribadi  Nabi Muhammad dipermainkan.

 

Dua hari kemudian, serangan seterusnya berlaku di kedai kosher di Paris dengan penyerang yang mendakwa tindakan itu ada kaitan dengan perancangan dua beradik tersebut. Keseluruhannya, 17 orang maut  dalam tragedi mengejutkan di Perancis lantas membuka perdebatan dunia mengenai kebebasan bersuara.

 

“Kebebasan bersuara sememangnya hak namun tanggungjawab itu perlu digalas tanpa menindas dan menekan pihak lain,” ujar Francis dalam siri lawatan rasminya ke Asia tersebut.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perancis, Francois Hollande berkata negaranya menghormati umat serta agama Islam di negara itu dan di luar negara, namun tidak akan berkompromi tentang isu kebebasan dan demokrasi.

 

Hollande dalam mesyuarat bersama negara-negara Arab di Paris berkata, umat Islam merupakan mangsa kepada ‘sikap fanatik dan sikap tidak bertoleransi’.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.